
Sindiket yang menyamar pengusaha makanan dari rumah itu dikesan menggunakan peluntur untuk menghapuskan cap lama sebelum menampal cap palsu baharu.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin, berkata hasil risikan kira-kira dua minggu mendapati rumah itu digunakan sebagai tempat tinggal dan pusat pemalsuan cap keselamatan imigresen.
“Pasukan risikan khas mengenal pasti premis itu didiami seorang lelaki dan dua wanita, semuanya warganegara Vietnam,” katanya menurut SInar Harian di Pejabat Imigresen Selangor di Shah Alam.
Beliau berkata, pihak merampas tujuh pasport Vietnam, tiga cap keselamatan disyaki palsu, lapan telefon bimbit, wang tunai RM2,150 dan sebuah Subaru XV dipercayai digunakan bagi tujuan pergerakan sindiket itu.
Bagi mengelak transaksi mencurigakan, katanya, sindiket itu menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan untuk menghantar pasport ke rumah pelanggan dan mengambil semula dokumen berkenaan selepas proses pemalsuan selesai.
“Mereka menggunakan cap palsu diubah suai dan menjalankan proses ‘mencuci’ cap bagi meminda tarikh kemasukan serta menghilangkan cap asal dalam pasport.
“Bayaran dikenakan RM400 bagi setiap cap, sama ada secara tunai atau melalui transaksi dompet elektronik,” katanya sambil menambah sindiket itu dipercayai aktif kira-kira dua tahun lalu.
Menurutnya, tiga individu berusia 26 hingga 40 tahun ditahan untuk disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.