
Mahu dijual sayang tapi sudah tidak mampu dijaga, begitulah antara luahan pemilik haiwan eksotik yang berdepan masalah kewangan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan 3.0 (PKP).
Seorang pekerja hotel, Sufiana yang memiliki seekor ular spesies Ball python berkata, dia berada di dalam dilema apabila terdapat beberapa individu mahu membeli haiwan peliharaannya itu apabila mengenangkan situasi ekonominya sekarang.
Sufiana berkata sejak PKP, hotel tempatnya bekerja tidak terkecuali berdepan masalah kerugian, justeru majikan terpaksa memotong gaji dan ada juga yang terpaksa diberhentikan.
“Saya beli ular ini pada 2019 masa itu umur dia dua tahun, memang ada beberapa orang nak beli ular yang saya beri nama Salmah Gendut ni.
“Bila dah sampai tahap tiada duit ada terfikir nak jual tetapi bila tiba masa nak jumpa pembeli saya batalkan sebab sayang pada ular ini,” katanya kepada FMT.

Sufiana yang turut memelihara beberapa ekor kucing berkata dia akan terus menjaga kesemua haiwan peliharaannya itu dan cuba mencari pelbagai inisiatif untuk menambah pendapatan bagi menampung perbelanjaannya dalam waktu genting ini.
“Kos jaga haiwan ini dalam sebulan boleh cecah RM200 termasuk kos kalau ada yang sakit, waktu sekarang ini RM200 itu bukan sikit..tapi sebab saya sayang tak sampai hati nak lepaskan, jadi untuk tambah pendapatan saya meniaga kecil-kecilan,” ujarnya.
Bukan hanya masalah kewangan, Sufiana memberitahu membela reptilia itu menjadi semakin mencabar sejak PKP terutama sekali untuk mendapatkan bekalan makanan.
Katanya, ular spesies Ball python peliharaannya yang manja dipanggil “Gendut” itu hanya makan tikus putih yang berharga dari RM1.50 sehingga 4.50 seekor.

Sufiana berkata, dia yang tinggal di Tanjung Malim, Perak selalunya akan pergi ke Manjung membeli tikus putih kerana lebih murah, namun sejak PKP dia terpaksa membeli di tempat lain dengan harga yang lebih mahal.
“Cabaran masa PKP ini adalah bagaimana nak dapatkan bekalan makanan memandangkan sekarang nak rentas daerah pun tidak boleh lagi. Macam tikus putih ni susah dapatkan yang murah dekat Tanjung Malim, tak ramai yang jual.
“Sekarang saya dapatkan bekalan dari penjual di Rawang dengan harga RM4.50 seekor, kalau di Manjung hanya RM1.50, jadi buat masa ini kena jimat makanan dia, macam dulu dua ekor seminggu sekarang kena bagi seekor sahaja seminggu,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]