Artis hasil potret Ratu Elizabeth II guna cecair penanggal kotoran

Artis hasil potret Ratu Elizabeth II guna cecair penanggal kotoran

Nathan Myburn yang pernah muncul dalam program realiti televisyen, Britain’s Got Talent menghasilkan lakaran itu sempena ulang tahun kelahiran Elizabeth.

Nathan menghasilkan lakaran potret indah wajah Ratu Elizabeth II bersama anjing corgi kesayangan. (Gambar Solent)

Siapa sangka, cecair penanggal kotoran juga boleh digunakan secara kreatif untuk menghasilkan sebuah lakaran potret indah seperti yang dilakukan oleh seorang artis berasal dari Wales ini.

Nathan Myburn, 31, memilih kaedah unik itu untuk menghasilkan lakaran potret Ratu Elizabeth II di atas permaidani dipenuhi lumpur sempena ulang tahun kelahiran Ratu Britain itu ke-95 baru-baru ini.

Potret berukuran 3.96 meter tinggi dan 3.05 meter lebar itu berjaya disiapkannya dalam tempoh empat jam dan ia turut menampilkan tiga anjing corgi terkenal monarki Britain itu.

Artis yang pernah membuat kemunculan dalam program realiti televisyen, Britain’s Got Talent pada 2011 itu menggunakan berus yang dicelup dalam cecair penanggal kotoran bagi menghasilkan lakarannya.

“Sejak beberapa tahun lalu, saya melakukan eksperimen dengan pelbagai bahan yang biasa digunakan di rumah untuk menghasilkan lukisan.

“Saya amat berbesar hati untuk meraikan ulang tahun kelahiran Ratu Elizabeth dengan cara seperti ini.

“Ia bukan satu tugas mudah tetapi gembira melihat hasilnya dan berpendapat Ratu akan turut menyukainya terutama apabila gambar anjing corgi kesayangan ditampilkan dalam lakaran ini,” katanya.

Acara rasmi sambutan ulang tahun kelahiran Elizabeth dibatalkan buat kali kedua pada tahun ini dan ia lazimnya diraikan dengan tembakan senjata tradisional.

Kali ini, ulang tahun kelahirannya disambut beberapa hari selepas mendiang suami, Putera Philip dikebumikan pada 17 April lalu tanpa sambutan awam memandangkan kerabat diraja berkabung selama dua minggu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.