
Dalam dunia muzik popular ada satu kepercayaan yang menjadi igauan ngeri para artis iaitu ‘badi album ketiga’. Ini bukan industri tempatan sahaja malah satu dunia ngeri dengan julukan Third Album Curse.
Kononnya album ketiga ibarat sebuah perjudian yang bakal menentukan nasib seorang penyanyi atau band itu dalam jangka hayat kariernya. Ada yang bernasib baik terus melonjak menjadi ‘lejen’ dan ada yang malang jatuh terjerumus, tenggelam tidak mampu bangkit lagi.
Bunyinya mengarut, tetapi sejarah muzik membuktikan corak ‘puaka’ ini berulang-ulang dan cukup menghantui.
Album pertama biasanya merupakan sebuah introduksi seseorang penyanyi atau band tersebut ke dalam dunia hiburan. Album adalah pakej lengkap identiti mereka yang dipertaruhkan di pasaran sama ada mereka diterima atau tidak.
Konsep atau identiti mereka selalunya digabungkan dengan kehendak pasaran ketika itu. Di sini, kalau gagal maka gagal terus. Kalau jualan melepasi target, akan muncul album kedua.
Album kedua pula akan menjadi kayu ukur sama ada mereka ini hanya sekadar penyanyi popular dengan satu lagu hit sahaja atau memang punya bakat istimewa.
Ternyata jika album kedua ini meletup, orang akan mencari semula album pertama. Ini makin melonjakkan artis atau band itu seterusnya membuatkan nama mereka menjadi besar. Siti Nurhaliza, Wings, Spider, Bloodshed, MAY, Bumiputra Rockers antara yang melalui fenomena ini.
Album ketiga keluar dengan meminjam momentum yang telah dibina pada dua album sebelumnya tetapi ia seperti pesawat yang terbang dan bergegar melanggar awan. Ada banyak konflik sama ada dalam kalangan ahli band itu sendiri ataupun masalah dengan syarikat rakaman.
Populariti yang meningkat membuat mereka menuntut kelebihan (demand). Ini dirasakan perlu bagi mereka yang sudah ternama. Mereka mahukan perubahan mengikut selera sebenar mereka manakala syarikat rakaman pula mahu formula yang sama iaitu – keuntungan. Itu sudah semestinya.
Tekanan masa daripada syarikat juga ada. Produk baharu kena keluar sementara nama tengah panas. Dengan desakan sebegini, akhirnya apabila album keluar, jualannya biasa sahaja. Kalau mampu menyaingi jualan dua album sebelumnya pun tak secepat yang dijangka.
Selalunya perlahan. Maka, di sini bertambah lagi konflik. Kalau band, dah mula bergesel sesama ahli. Silap-silap penyanyi nak keluar bikin album solo. Kalau penyanyi solo pula, mula terketepi kerana syarikat mahu cari yang lain pula. Peminat pula mula membanding-bandingkan kualiti kali ini bersumberkan ulasan-ulasan dari media.
Di sini, akan berpecah dua. Pada yang terpengaruh dengan ulasan negatif media, akan meninggalkan penyanyi atau band ini. Kehilangan separuh peminat adalah kehilangan tiga suku pembeli. Itu sifir mudah.
Penyanyi atau band yang jualan album ketiganya suam-suam kuku ini tetap ada peluang untuk album keempat; mungkin kerana masih ada perjanjian dalam kontrak.
Dan album keempat adalah pelengkap kejatuhan apabila jualannya gagal teruk kesan daripada badi album ketiga tadi. Segan pula rasanya hendak saya beri contoh siapa yang terkena badi ini. Anda boleh semak sendiri.
Namun begitu, banyak juga yang semakin meletup pada album ketiga dan menjadi lebih besar apabila album keempat keluar. Kumpulan rock Search misalnya membuktikan album keempat menjadi tangki oksigen yang bertuah untuk nyawa kumpulan itu.
Album berjudul Fenomena pada tahun 1989 bukan sekadar meletup, malah memahat terus nama mereka sebagai legenda tak tergugatkan. Lagu Isabella mengangkat Search sehingga ke luar negara.
Tiga album sebelumnya sudah pun popular, tetapi album keempat inilah yang masih tak letih diperkatakan peminat sehingga ke hari ini. Walaupun ada beberapa album seterusnya keluar, album Fenomena ini sudah cukup membuat Search cari makan sampai tahun 2025 ini.
Begitu juga dengan KRU, album Awas! (1995) melonjakkan terus trio adik-beradik ini sehingga kekal merajai liga rap dan hip-hop. Lagu ‘Awas’ dan ‘Ooh! La! La!’ menjadikan KRU ikon pop 90-an menewaskan saingan lain ketika pada album-album awal KRU belum cukup menjadikan mereka nombor satu.
Sheila Majid, selepas album kedua Emosi (1986) berjaya, terus meneguhkan kedudukan melalui album Warna (1988). Album Legenda (1990) seterusnya tak payah ceritalah! Dan hari ini Sheila Majid ada kerusi di takhta tersendiri.
Ada juga yang kebal daripada badi. M Nasir misalnya. Sebaik sahaja muncul sebagai penyanyi solo melalui album pertamanya, S.O.L.O (1989) beliau meneguhkan statusnya sebagai bukan sekadar penyanyi, tetapi seorang pengkarya penuh visi.
Kreativiti, eksperimen, dan keupayaan mencabar formula arus perdana menjadikan beliau terus relevan walau generasi berganti. Minggu lepas sahaja, beliau masih lagi berkonsert dengan kehadiran ribuan peminat setianya memenuhi stadium. Tangkal M.Nasir ‘power’ menangkis badi ini.
Itulah, tidak semua bernasib baik. Gersang yang pernah mencipta kegilaan dengan ‘Masih Aku Terasa’ tidak mampu mengulang momentum selepas tiga album. Lefthanded yang pernah menyaingi Search dengan skil permainan hebat mereka akhirnya tewas apabila pesaing baru seperti Wings dan XPDC muncul.
Walaupun kekal dalam nostalgia, tetapi mereka bukan lagi kita ingat duduk di carta utama. Kehebatan dan kemahiran tak mampu memandu kemasyhuran.
Aishah pula pernah meletup gila-gila dengan lagu Janji Manismu selepas keluar dari The Fan Club, namun selepas itu, album ketiga dan seterusnya gagal mencetus impak sama.
Suara emasnya masih berbisa, kualiti lagu-lagunya memang sangat sedap tetapi apakan daya, judul lagunya Cinta Beralih Arah mungkin bermaksud ‘pasaran sudah bergerak ke arah lain’ juga. Ramai yang menjadi begitu, bukan tak sedap tapi tak menjadi sakti.
Seperti saya katakan awal tadi, fenomena ini bukan hanya di Malaysia. Di luar negara, kisahnya lebih besar. Megastar seperti Michael Jackson yang pernah menjadi penyanyi mewakili planet bumi juga makin lama makin jatuh jualan albumnya, gagal menandingi jualan album zaman kemuncaknya. Album HIStory (1995) dan Invincible (2001) masih terjual berjuta-juta, tetapi dianggap lemah berbanding era Thriller dan Bad. Ditambah pula kontroversi peribadi, Michael menjadi contoh bagaimana seorang artis boleh jatuh selepas tiga (dalam kes Michael, enam) albumnya gemilang.
Pengetahuan saya tentang artis Barat agak kurang, tetapi beberapa band seperti Oasis, The Police, Culture Club dan penyanyi seperti Alanis Morissette, MC Hammer atau Vanilla Ice tak terlepas dari terkena Third Album Curse ini.
Hakikatnya, badi ini bukan sumpahan atau puaka karut lagi tahyul. Ia sebenarnya realiti industri perniagaan yang keras. Ia menjadi mangsa apabila berhadapan dengan cabaran di antara selera artis dan konflik sesama ahli band, konflik dengan kehendak syarikat label, citarasa telinga peminat dan percubaan melakukan eksperimen yang tidak kena masa dan zaman.
Sebuah karya yang bagus boleh gagal andai tiada nasib dan dalam keadaan masa yang tak mengizinkan. Selepas tiga album, artis tidak boleh lagi bergantung pada ‘hype’ tetapi harus bijak mencari formula sebagai jalan tengah kepada selera sendiri, selera peminat masa kini dan tuntutan komersil untuk pelaburan syarikat.
Itulah pertaruhan yang memungkinkan album keempat akan melonjakkan mereka ke tahap legenda atau terus melingkup dan dilupakan.
Hari ini, zaman sudah berubah habis 300 darjah (kalau 360, maknanya ia balik kepada asal, kan?). Tiada lagi album fizikal. Yang ada hanyalah ‘single’ yang dijual di media sosial dan alam internet.
Artis-artis lama ini, yang berjaya menjadi ‘lejen’ saya kira sungguh bertuah kerana masih mempunyai peluang di era dunia maya. Dan yang telah tenggelam nampaknya ada jugalah peluang untuk ‘reunion’ setelah karya lama mereka diangkat semula di YouTube.
Bolehlah buat ‘show’ cari makan kerana mereka pernah ada album. Itu kebaikan dunia internet, saya rasa. Sumpahan atau badi tadi sedikit sebanyak telah terhapus.
Tetapi untuk artis zaman ini yang wujud ketika era album fizikal pupus, yang naik pada zaman internet, saya tak pasti. Saya belum teliti lagi bagaimana peluang mereka pada masa akan datang dan apakah pula ‘badi’ zaman ini yang akan mereka hadapi.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.