
Misi aman itu membawa ubat-ubatan dan bekalan makanan untuk penduduk Gaza, namun dihentikan secara paksa oleh tentera Israel, sekali gus mencetuskan kemarahan dan kecaman antarabangsa.
“Mereka hadir untuk membawa kasih sayang, kepedulian dan harapan untuk saudara kita di Palestin, membawa keperluan makanan, bukannya bom.
“Justeru, tindakan menahan sukarelawan adalah satu ketidakadilan terhadap usaha kemanusiaan sejagat,” kata Karyawan dalam kenyataan.
Zizi Kirana antara 12 rakyat Malaysia dilaporkan ditahan dalam insiden tersebut. Beliau, antara wakil aktivis dari Malaysia menyertai delegasi misi flotila yang dianjurkan oleh gabungan aktivis kemanusiaan dari pelbagai negara.
Karyawan turut menyatakan solidariti penuh kepada semua aktivis yang berani menyertai misi berisiko tinggi itu, sambil menyeru masyarakat Malaysia terus berdiri teguh menyokong perjuangan kemanusiaan untuk rakyat Palestin.
“Kami percaya usaha diplomasi dan rundingan sedang digerakkan, dan Insya-Allah, Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) akan memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan serta pembebasan mereka yang ditahan,” katanya.
Karyawan juga menyifatkan mereka yang menyertai misi itu sebagai ‘wira sejati’ yang sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi membela nilai kemanusiaan sejagat.
“Semoga keberanian dan pengorbanan mereka menjadi inspirasi kepada kita semua, tanpa mengira bangsa, agama dan negara,” kata Karyawan.
Terdahulu, akaun media sosial rasmi Sumud Nusantara Official melaporkan lapan rakyat Malaysia termasuk Zizi Kirana ditahan secara tidak sah oleh tentera Israel selepas kapal yang mereka naiki dipintas di perairan antarabangsa, awal pagi tadi.
Selain Zizi, beberapa video rakyat Malaysia lain turut dimuat naik iaitu Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli yang berada dalam tahanan selepas Kapal Sirius dinaiki mereka dipintas pada jam 9.47 malam waktu Gaza, 1 Oktober 2025.
Tiga lagi rakyat Malaysia di atas Kapal Alma iaitu Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil juga berdepan nasib sama selepas kapal berkenaan dipintas pada jam 9.44 malam waktu Gaza.
Kemudiannya, empat lagi rakyat Malaysia iaitu penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah, yang menaiki kapal Hio, selain Nurfarahin Romli dan Danish Nazran Murad yang berada di atas kapal Grande Blu turut ditahan.
Menurut sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Grande Blu dipintas pada 12.58 tengah malam waktu Gaza, manakala Hio pada 2.34 pagi pada kedudukan kira-kira 60 batu nautika dari Gaza.