Pendakwah berlencana ‘top fan’ di page hiburan

Pendakwah berlencana ‘top fan’ di page hiburan

Itulah yang pelik kerana persoalan pokok ialah: kalau dia itu alim dan warak, bagaimana dia boleh tersesat masuk ke 'page' hiburan yang ada seksi-seksi?

ronasina

Kadang-kadang bila masuk ke dalam ‘page’ hiburan yang lalu di garis masa Facebook, saya rajin memerhati ruangan komen kerana pasti ada watak akan muncul iaitu ‘pendakwah page hiburan’. Bila tersiarnya berita seseorang artis itu bercerai, artis kahwin baharu, berkongsi gambar bercuti atau artis nak buat konsert maka muncullah mereka dengan komen berbentuk khutbah, “sudah-sudahlah hiburan ni, banyakkan ibadat. Dah tua tu insaflah.”

Dan lebih menghiburkan saya, nama yang mengomen itu biasanya ada lencana ‘top fan’. Maksudnya, dia bukan sahaja menonton, malah paling setia singgah membaca dan mengulas apa sahaja berita dan gosip artis. Kalau kes artis bercerai, dia akan membedal artis lelaki dengan caci-maki. Kemudian, bila si artis lelaki kahwin baharu, dia belasah pula dengan ceramah tentang hukum, nafkah terhadap anak-anak dan sebagainya seperti dia itu keluarga rapat si artis. Ya, kita boleh agaklah pengomen sebegini biasanya ‘mak cik’, bukan ‘pak cik’.

Jika ada artis wanita berpakaian seksi, pengomen ini akan berdakwah pula tentang aurat tetapi bunyinya aneh: ‘Wow! Besarnya. Hangus terbakar kena api neraka nanti’ atau ‘alamak! Dah tua berkedut dan lembik. Insaflah!’. Semestinya pengomen ini terdiri ‘pak cik’, bukan ‘mak cik’. Bentuk komen mereka mengulas itu membuat kita keliru adakah mereka menasihat atau sedang enak ‘memperincikan’ sesuatu? Kelihatan mereka semua ini punya banyak masa lapang untuk mengambil bahagian menempel di sana.

Itulah yang pelik kerana persoalan pokoknya ialah: kalau dia itu alim dan warak, bagaimana dia boleh tersesat masuk ke ‘page’ hiburan yang ada seksi-seksi? Patutnya dia menghindarinya. Atau adakah dia rasa terpanggil untuk masuk semata-mata untuk beri nasihat? Persoalannya, siapa yang panggil? Kerana ayat yang mereka gunakan itu bukan ayat berdakwah tetapi ayat syok untuk mengutuk?

Media hiburan dengan cerita ‘murahan’ begini wujud kerana adanya pembaca ‘murahan’ yang menjadi pelanggan tetapnya. Ia memang direka untuk menjadi sensasi. Tajuk mesti pedas, gambar mesti paling mencuri perhatian. Itu namanya ‘clickbait’. Mereka, pembaca ini termakan umpan lalu masuk dengan niat konon mahu menasihat (baca: mengumpat) tetapi akhirnya hanya menambah trafik. Mereka pun suka jika komen mereka disambut baik dan disokong oleh pengomen lain. Kelakarnya ada di antara mereka ini mengunci profil mereka. Berani mengomen, menasihat dan mengutuk tetapi tidak mahu identiti mereka diketahui. Sedap main pukul curi, kan?

Kalau kita boleh berfikir dengan waras, kita akan faham bahawa artis hanya mengambil masa dua tiga jam di atas pentas untuk berkonsert tetapi dua jam yang disensasikan beritanya itu kemudian dianggap oleh segelintir warganet sebagai gambaran penuh 24 jam kehidupan mereka. Dari situlah lahir komen-komen, ‘maksiat lalai, hiburan melekakan’, seolah-olah artis itu tidak ada keluarga untuk disara, tidak pernah membantu kerja kebajikan, tidak pernah menunaikan ibadat. Hidup artis dipersempitkan dalam satu bingkai sensasi yang dimanipulasi media. Untuk membuat konsert mereka berlatih berbulan-bulan. Ada pihak lain juga dapat mencari rezeki dalam menjayakan program itu seperti jurutera teknikal lampu dan sistem bunyi, termasuklah katering, tukang sapu dan pekerja pengangkut sampah.

Artis yang bercerai tadi atau yang buat konsert itu tidak ada siapa pun peduli ketika mereka baru selesai menjayakan projek amal mengumpul dana untuk pesakit kanser atau menyumbang kepada program kemasyarakatan dan sekolah agama. Semua itu tidak penting. Yang seronok ialah melibas hanya bersandarkan daripada satu bingkai sensasi tanpa mereka sedar bahasa mereka itu kasar dan mengaibkan diri sendiri serta pihak lain. Apa yang kononnya mahu jadi nasihat akhirnya jadi kutukan, ejekan atau gangguan. Artis ini telah dibuli beramai-ramai oleh para asatizah yang mengunci profil mereka. Sedangkan kalau benar mahu berdakwah, ada banyak cara lebih bijaksana dan lebih berhikmah. Tetapi di ruangan komen, para asatizah ini berasakan halal mengumpat dengan beralaskan (konon) agama.

Padahal, di media sosial sekarang sebenarnya wujud pelbagai konten hiburan alternatif yang jauh lebih bermakna. Podcast tentang seni, diskusi tentang muzik, wawancara bersama penggiat kreatif yang mana semua itu penuh informatif, sarat dengan ilmu dan wawasan. Di sana, orang boleh belajar bagaimana karya seni dihasilkan, apa cabaran industri, malah bagaimana seni boleh membentuk masyarakat. Tetapi ruang itu tidaklah dimasuki oleh mereka yang rajin memberi kuliah segera di ‘page’ gosip. Sebab apa? Sebab berat untuk kepala mereka nak faham. Yang mudah adalah singgah masuk di page hiburan dengan mengulang ayat sama: ‘Dah tua insaflah’ atau ‘carilah kerja lain’. Silap-silap mengomen itupun ketika sedang curi tulang dalam waktu kerja. Dek kerana aktif berpartisipasi, ‘page’ tersebut menganugerah mereka lencana ‘top fan’.

Itulah yang berlaku. Dalam menasihatkan orang agar jangan lalai dengan hiburan, rupa-rupanya dia diiktiraf sebagai peminat paling setia. Dia adalah ‘top fan’ dunia hiburan dan itu menyeronokkan dia. Itulah pencapaian paling dia banggakan. Dan esok dia akan datang lagi mengomen serta mengutuk untuk mengekalkan lencana ‘top fan’ miliknya. Dia mesti proaktif kerana dia tak mahu lencana kebanggaannya itu tercabut!

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.