
“Ron, malam ni datanglah!”
“Ini malam kasi mari, bang.”
Itu mesej daripada Tam dan Iss, penyanyi dan pemain bass kumpulan Spider. Saya akrab dengan anggota band ini. Ketika itu mereka sedang bersiap untuk konsert ‘unplugged’ mereka, (nota: yang baru saja berlangsung pada 25 Okt lalu di Megastar, KL) sebuah konsert solo berskala besar oleh mereka untuk tahun ini. Kita sudah tahu pada Jun 2024 lalu, kumpulan Spider melalui konsert solo pertama mereka telah berjaya membuat ruang di dalam Zepp KL padat dan sendat. Dalam usia band yang hampir mencecah 30 tahun, Spider masih terus aktif meskipun Tony (bassist) dan Napie (gitar) meninggal dunia. Kemasukan Iss mengisi posisi Tony dan Pown Hasril di tempat Napie diterima peminat dengan senang hati tanpa ada kontroversi. Tak seperti band lain yang anggota barunya sering dibanding-bandingkan dengan anggota band lama yang telah keluar. Kira, Spider ini band yang tak kecoh dengan hal remeh-temeh. Asal keluar cerita mereka mesti tentang penghasilan karya atau persembahan. Seperti labah-labah lain, jika tak ada apa – lebih baik senyap menunggu semut (rezeki) tersangkut di sarang. Aha!
Macam selalu bila Spider ada konsert skala besar begini saya pun turut menyibuk di studio menengok-nengok mereka. Dalam duduk-duduk di ruang latihan itulah, saya sentiasa memerhatikan kesungguhan yang mereka tunjukkan. Latihan bukan difahami oleh sesetengah orang dengan ‘enjoy’ dan lagha, tetapi juga seakan medan latihan askar. Berbincang dan berlatih, meneliti setiap bait dan setiap not yang disusun semula dan kemudian diuji berulang kali untuk menyesuaikan konsep serta tema.
Selain itu, mereka membuat perancangan rapi sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan luar jangka yang bakal dihadapi. Saya melihat mereka seakan sedang bersiap untuk satu pertempuran yang wajib mereka menangi. Senarai lagu yang akan dipersembahkan dibincangkan bersama bagi memastikan sesuai dengan tema dan selera semasa. Debat dan gaduh pro atau kontra sesebuah lagu itu dipilih berjalan secara demokrasi. Setiap ahli memberikan buah fikiran untuk susunan muzik yang diubahsuai bagi memberikan kelainan.
Ini bukan senang. Untuk mengumpulkan beberapa kepala membentuk sebuah persefahaman tak mudah apatah lagi kalau sudah bertahan lama. Yang kita tonton depan mata di atas pentas adalah sesuatu yang sudah siap menjadi sedangkan untuk mendapatkan hasil sebegitu, memerlukan komitmen dan pengorbanan yang cukup tinggi.
Firdaus, pemain keyboard undangan – yang selalu kita nampak mengiringi nama besar seperti M Nasir dan Search ternyata seorang ‘big brother’ bagi Spider. Firdaus bukan sekadar yang kita nampak hanya pemenuh pentas dengan memetik dan menekan keyboard itu saja, tetapi di belakang tabir dia juga adalah penyusun muzik. Menggalas peranan sebagai pengarah muzik konsert akustik ini, saya melihat nota-nota muzik di gajet Firdaus lengkap dan siap – persis seorang jenderal perancang peperangan.
Itu bulan-bulan awal persiapan mereka. Hanya anggota band dan Firdaus sahaja berlatih. Selain saya, kawan-kawan seperjuangan mereka seperti penyanyi Hazama, Zack kumpulan Budak Kacamata, jurnalis Opie Sofia dan pelakon Farid Kamil juga datang sambil melepak dan berborak. Ia ibarat beri sokongan moral tanda setiakawan. Apabila masuk minggu-minggu akhir menuju hari konsert, semua pemuzik undangan pun datang berlatih. Itulah gunanya penyusun muzik yang sudah siap nota-notanya. Bila semuanya sudah terima terus bergabung menyatukan rentak dan irama. Rafi, pemain gitar yang selalu mengiringi M Nasir juga menyusun muzik untuk kumpulan orkestranya dan dia juga bertindak sebagai konduktor. Latihan dibuat untuk menyatukan persefahaman. Ini bukan kerja main-main. Dari situ mereka boleh lihat apa yang kurang dan apa yang perlu ditambah baik supaya lebih cantik. Kru sentiasa bersedia. Tukang ‘tune’ gitar, tukang hulur kopi, tukang gulung wayar, tukang jaga bunyi di studio milik Mat Yus – semuanya gigih bekerja. Azmi, anak muda yang bertungkus-lumus memastikan semuanya lancar tak lupa membuat ‘live’ di akaun media sosial rasmi Spider untuk tujuan promosi. Aida, pengurus Spider sibuk berbual dengan dua-tiga orang, barangkali berbincang tentang gerai jual cenderamata Spider di pintu dewan. Masing-masing sibuk nampaknya.
Serius, ramai yang melihat konsert hanya sebagai sebuah hiburan kosong tapi di balik semua itu, ia adalah medan pertempuran yang memerlukan stamina, kesabaran dan jiwa. Seperti tentera yang sedang merangka strategi, kawan-kawan Spider saya ini menghabiskan masa berjam-jam meninjau setiap aspek pada persembahan yang bakal berlangsung nanti.
Apabila sampai ke tempat konsert nak kena faham suasana, tengok mana nak berdiri, mana nak duduk. Kru teknikal dan pengurusan band memainkan peranan penting. Mereka perlu membentuk kerjasama akrab kerana Spider sudah perlu tumpukan persembahan di atas pentas. Hal lain adalah urusan pasukan. Sebermula tirai dibuka sehingga ditutup, itu yang paling penting. Warna lampu, bunyi muzik dan suara, montaj tak boleh gagal. Bayangkan berbulan-bulan berlatih, terleka sesaat di hari kejadian, boleh tercalar reputasi. Sebab itu saya kata, ini peperangan yang tak boleh tewas kerana kemenangan ini akan membuka jalan-jalan untuk penaklukan seterusnya. Fikirkan, ketika penonton memberikan 100% tumpuan kepada persembahan, ada kumpulan manusia yang sedang bekerja keras di belakang tabir memastikan segalanya berjalan lancar. Mereka semua bekerja dan dibayar!
Ya. Sesebuah konsert juga adalah medan mencari rezeki buat puluhan, malah ratusan orang yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Daripada jurutera bunyi, jurulampu, juruvideo, pengurus acara, pengawal keselamatan, jurugambar, hingga kepada penyediaan makanan dan minuman di lokasi — mereka semua bergantung pada konsert ini untuk sesuap nasi. Bila kita meremehkan kerja seni dan hiburan, sebenarnya kita juga memandang rendah pada mata pencarian ramai insan yang bergantung pada peluang tersebut. Jangan lupa, selesai konsert – itu kerja tukang sapu dan tukang kutip sampah pula.
Kita harus faham mereka itu hanyalah jaguh di atas pentas atau bintang di corong radio tetapi selepas selesai bekerja, mereka adalah insan biasa seperti kita yang ada keluarga, anak-anak dan ibu bapa. Kata-kata nista dan sinis oleh netizen di medsos yang menilai dua tiga jam bekerja di pentas itu seolah-olah menggambarkan keseluruhan hidup para artis itu selalunya sesat-barat. Kutukan ini bukan setakat meremehkan maruah artis yang serius bekerja, malah turut menyakitkan hati keluarga yang lebih mengenali betapa gigihnya usaha dan pengorbanan yang telah dilalui. Bagaimana seorang ibu dan bapa melihat betapa bertanggungjawabnya anak mereka bekerja menghiburkan orang dengan menggunakan bakat dan hobi tanpa menipu atau menganiaya pihak lain. Bagaimana seorang isteri atau suami melihat kesungguhan pasangan mereka seorang artis yang bekerja memberi anak makan dan pelajaran tanpa pengabaian. Kita harus belajar melihat dengan mata husnuzon; menghargai bukan hanya persembahan mereka, tetapi juga jasa dan bakti yang disumbangkan kepada orang di belakang mereka.
Demi mencari rezeki mereka sendiri dan pihak lain, mereka menelan kata nista. Pernahkah kita terfikir ketika di atas pentas menghiburkan penonton, ada antara mereka sedang dirundung kesulitan? Bayangkan Eddie Wings pernah buat persembahan padahal 24 jam sebelum itu isterinya meninggal dunia. Apakah mereka bukan manusia? Apakah mereka tiada perasaan? ‘Kau’ senang-senang sahaja komen suruh mereka buat kerja lain sebab dah tua. Di mana sifat ihsan ‘kau’? Kenapa ‘kau’ tak mengecam diri sendiri ketika kau curi tulang waktu bekerja? Seperti lagu Spider berjudul Kau Saja:-
“Kau saja
Mahu orang tengok handal
Kau saja
Belum tahu engkau bebal.”
Sokongan yang positif juga harus terus datang daripada pihak media hiburan dan wartawan. Pengamal media mempunyai peranan yang cukup besar dalam mendidik masyarakat. Melalui tulisan, mereka boleh mendidik dan membentuk persepsi kepada masyarakat bahawa profesion ini bukan sekadar hiburan kosong untuk dipersenda, tetapi satu kerjaya profesional yang memerlukan kecekalan tinggi. Dengan laporan dan liputan yang bertanggungjawab, media dapat mengangkat martabat seni dan memperbetulkan salah tanggapan masyarakat. Kurangkanlah cerita membesar-besarkan gosip kahwin cerai atau sondol-menyondol itu, seolah-olah hanya itulah yang ada di dalam kepala setiap artis. Atau, seolah-olah perangai artis memang begitu semuanya sehingga tiada langsung seorang pun yang berhemah tinggi.
Entah kenapa dalam dunia yang semakin terbuka, segelintir kita masih terbawa-bawa dengan stigma bahawa kerja seni ini seremeh kanak-kanak bermain guli atau penggiatnya memang jenis suka berseronok kosong. Maklumlah, di majlis kenduri kahwin kita nampak menyanyi ini sesiapa pun boleh; senang punya kerja. Pergi pusat karaoke bersepah orang berasa boleh menyanyi. Mereka gagal membezakan antara menyanyi hiburan suka-suka di majlis kenduri dengan membuat kerja seni sebagai sebuah kerjaya profesional. Begitulah! Sementara kerja profesional lain dipandang tinggi, penggiat seni sering dipandang sipi. Picisan punya profesi!
Sebab itu setiap kali menonton sebuah persembahan seni sama ada konsert, teater atau filem saya akan ingat betapa untuk menyudahkan sebuah produksi, memerlukan disiplin serta profesionalisme. Dua jam di atas pentas adalah medan keraian dan penghargaan selepas berlatih gigih. Selebihnya adalah kehidupan. Amal ibadat bersedekah, solat jemaah mengimamkan keluarga, beriadah, berzikir dan beruzlah – itu rahsia peribadi yang perlu dikunci rapat untuk dijadikan tatapan umum. Perbualan kami ketika masa senggang bukan hanya terkurung dalam bidang seni hiburan sahaja tetapi adakalanya melangkaui soal kemanusiaan dan kerohanian. Saya sengaja khabarkan di sini, manalah tahu kalau mulut anda masih suka mencebik dengan sangka-sangkaan. Sudah-sudahlah menghina orang. Cuba pandang dengan hati terbuka – dengan rasa penuh keihsanan dan bukan dengan mata yang serong!
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.