
Penjelasan itu dibuat susulan laporan akhbar The Star bertajuk “New directive sets dress, conduct rules for concert” yang diterbitkan semalam.
“Kenyataan yang dikeluarkan adalah berbentuk saranan dan nasihat kepada penonton serta pengunjung melalui kerjasama dengan pihak penganjur konsert.
“Fokus utama ialah etika pemakaian dan tingkah laku yang sesuai dengan sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia demi memelihara keharmonian negara,” menurut kenyataan Jawatankuasa Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL).
JK-PUSPAL memaklumkan perkara itu seperti dinyatakan Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin, bahawa “walaupun garis panduan itu tertumpu terutamanya kepada penganjur dan artis, ia secara tidak langsung meliputi perlakuan penonton menerusi tanggungjawab penganjur.”
Selain, itu JK-PUSPAL menasihati penganjur konsert untuk memastikan keselamatan dan kawalan kepada pengunjung dengan melaksanakan tindakan yang perlu sebelum, semasa dan selepas persembahan melibatkan aktiviti minuman keras dan dadah.
Ini bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini kepada keselamatan pengunjung, menurut kenyataan itu.