
Setiap pelukis pasti ada ciri-ciri tersendiri yang dipilih sebagai tema untuk setiap karya mereka.
Begitu juga dengan seorang pelukis muda dari Mesir yang memilih kaedah di luar kebiasaan untuk menunjukkan bakatnya.
Selain cat dan kanvas, pelukis terbabit, Sally Magdy Murad, 25, lebih gemar mencapai bahan lukisannya yang biasanya disimpan dalam kabinet dapur seperti madu, coklat, air gula dan pelbagai lagi.
Ternyata, tempoh kuarantin akibat pandemik Covid-19 tidak sekadar melayan kebosanan menonton televisyen untuk kebanyakan orang kerana ia mencetus idea baru buat Sally.

Sally sebenarnya baru mencuba-cuba sebagai salah satu eksperimen apabila dia menggunakan bahan masakan itu termasuk jem, jus delima untuk menghasilkan lukisan.
Semakin lama dia cuba menjadikan karyanya lebih kompleks membabitkan potret wajah personaliti Arab.
“Saya mula berfikir mengenai bahan yang boleh digunakan dan digemari semua orang dan sudah tentu ia adalah makanan. Apabila saya ke mana-mana, perkara yang sering dicari ialah makanan.
“Dari situ terlintas di fikiran, apa kata jika saya menggunakan bahan yang saya suka makan ini selepas selesai melukis,” katanya kepada Al-Ain News.

Selain itu, dia turut menggabungkan hasil kerjanya dengan beberapa bahan lain seperti gula-gula, kismis, garam malah makanan Mesir seperti koshari serta kofta.
Bapa Sally yang juga seorang pelukis menyedari bakat anaknya ketika masih muda lagi selepas melihat lukisan dan coretannya pada dinding.
Ketika di bangku persekolahan juga, dia menyertai pelbagai pertandingan melukis dan dikenali kerana sering menghasilkan lukisan yang cantik.
“Dulu, saya hanya menggunakan bahan biasa seperti cat namun selepas melakukan eksperimen dengan medium lain terutama ketika tempoh kuarantin tahun lalu, saya menggunakan bahan lebih mudah,” katanya yang juga berkebolehan melukis kaligrafi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]