
Di sebalik pujian dan maklum balas positif diterima, penyanyi berusia 38 tahun itu tidak terlepas berdepan kritikan termasuk dakwaan memanfaatkan bahasa isyarat untuk kepentingan komersial.
“Ada juga kata Mimi cuba mengaut keuntungan guna sentimen orang kurang upaya (OKU) dan bahasa isyarat. Ada yang sudah menyalah erti niat Mimi dalam penghasilan karya ini,” katanya kepada FMT.
Menafikan dakwaan itu, bekas anggota kumpulan One Nation Emcees berkata golongan OKU bukan sesuatu yang asing bagi dirinya kerana ibu, Ramlah Md Jalee, 68, juga dilahirkan tanpa kaki.

Pemilik nama Shamimi Amalina Norhisham berkata, usahanya dalam mendekati OKU adalah dedikasi buat ibunya yang merupakan ikon golongan terbabit dan sehingga kini masih aktif memperjuangkan hak dan kebajikan mereka.
“Mama walaupun OKU, dia penulis skrip dan juga penulis buku…dan dia belajar sampai University of Chicago. Dia sangat luar biasa, mama sampai sekarang masih lagi bergiat untuk kebajikan orang buta, pekak dan bisu,” katanya.

Kritikan itu tidak menjadi kudis buat Mimi dan menganggapnya asam garam sebagai penyanyi yang lebih 12 tahun berkecimpung dalam industri seni.
“Bila kita buat sesuatu karya, kita tak boleh nak dapat semua orang suka kita. Mesti dapat satu lagi yang tak suka. Jadi, barulah Mimi rasa karya itu sempurna,” katanya.
Sebagai anak seni, kepuasan sebenarnya adalah apabila semua golongan termasuk OKU dapat bersama menghayati karyanya tanpa ada garis pemisah.
“Sebab itu bila Mimi buat bahasa isyarat dalam koreografi, Mimi rasa sangat tepat sebab impian Mimi satu, supaya tak ada garis pemisah antara kita dengan orang kurang upaya pendengaran dan mereka juga boleh nikmati karya seni ini,” katanya.
Berkongsi pembikinan video muzik ‘Angkat’, Mimi berkata walaupun berdepan cabaran seperti lokasi, cuaca, pemilihan penari dan bajet, rakamannya berjaya disiapkan dalam tempoh 18 jam.
“Mimi bekerjasama dengan 30 tenaga kerja. Walaupun Mimi artis indie, memang semua benda kita buat sendiri, tapi bila bekerja dengan orang yang berkongsi minat sama dalam industri kreatif ini, kerja jadi mudah,” katanya.
Video muzik menerapkan elemen klasik Melayu itu dilancarkan pada 28 Dis lalu dan kini mendapat lebih sejuta tontonan di YouTube.
Ia adalah gabungan lagu ‘Angkat Kaki’ nyanyian Sheeda yang diberikan nafas baharu dengan lirik rap sentuhan Mimi.