
Dalam ucaptama bertajuk ‘The Future of our Heritage’ di CIMB Artober Art & Soul 2025, pada Ahad, baginda menegaskan menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan warisan ini diwarisi generasi akan datang, seperti dilakukan oleh generasi terdahulu.
Baginda mengingatkan pada masa lalu, tradisi seperti batik, songket, ukiran kayu, tembikar, sulaman, tenunan dan kraf lain diwarisi dari generasi ke generasi, “dari guru kepada murid, dari ibu bapa kepada anak”.
“Inilah keindahan rapuh warisan kita. Ia hidup dalam ingatan, pada tangan, dalam amalan. Sebab itu ia mesti dipelihara, direkod dan ditulis dengan terperinci supaya generasi masa depan dapat mempelajarinya.
“Dan apabila kebijaksanaan yang diwarisi ini digabungkan dengan ilmu formal di sekolah seni hari ini, sesuatu yang luar biasa boleh terhasil,” titah baginda.
Tunku Azizah turut mengenang zaman persekolahan ketika terdapat kelas seni mingguan, sesi melukis dan peperiksaan seni di sekolah rendah dan menengah.
“Saya berasa sedih kerana seni di Malaysia hari ini tidak lagi diajar dengan serius seperti zaman persekolahan saya dahulu. Seni dan kraf bukan sekadar kemahiran – ia adalah santapan jiwa. Ia bersifat menenangkan dan memulihkan,” katanya.

Baginda turut berkongsi peranan istana dalam memelihara warisan. Pada 31 Ogos lalu, Tunku Azizah melancarkan Yayasan Warisan Tunku Azizah, impian baginda yang bertujuan memelihara semua bentuk seni dan budaya tradisional.
Bersempena pelancaran itu, Festival Warisan Pahang turut diadakan di Pekan selama seminggu, yang menarik lebih 100,000 pengunjung.
Tunku Azizah turut menyanjung peranan kerabat diraja wanita negara dalam mengekalkan kraf tekstil tradisional, termasuk Raja Perempuan Taayah dari Perak (pakar tekat), Tengku Ampuan Jemaah dari Selangor (pengamal telepuk), Tengku Ampuan Besar Meriam dari Pahang (pendokong tenun) dan Raja Perempuan Anis dari Kelantan.
“Apa sahaja yang dibuat dengan tangan, walaupun mahal, tetap dihargai kerana ia membawa roh pembuatnya. Permintaan masih ada, tetapi banyak kraf ini semakin pupus.
“Sebab itu menjadi tanggungjawab kita untuk menghidupkannya semula – bukan sahaja demi kebanggaan budaya, tetapi juga peluang ekonomi dan kelestarian,” titah baginda.
Baginda turut mengajak golongan muda untuk mencintai budaya sendiri.
“Ciptalah gaya anda sendiri. Jadilah inovatif. Tetapi jangan sekali-kali lupakan akar budaya anda. Apa yang anda hasilkan hari ini mungkin suatu hari nanti menjadi pusaka esok.”

CIMB Artober Art & Soul 2025, acara seni tahunan utama CIMB Group Holdings Bhd, berlangsung dari 26-28 Sept di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec).
Acara itu menghimpunkan lebih 30 galeri dan lebih 100 artis, dengan antara tarikan utama ialah kembalinya Pavilion Pahang – inisiatif Tunku Azizah sendiri – yang mempamerkan selendang Songtik gabungan tenun dan batik, di samping tekstil ikat dan pua karap Iban dari Sarawak.
Turut dipamerkan ialah karya seni tekstil oleh puteri baginda, Tengku Puteri Jihan Abdullah dari Pahang, graduan dengan Kepujian Kelas Pertama dalam Seni Tekstil University for the Creative Arts (UCA), United Kingdom.
“Dia (Jihan) boleh memilih pelbagai laluan, tetapi dia memilih seni: mempelajari tenunan dan tekstil, yang menjadi nadi warisan Melayu.
“Ini bukan sahaja kebanggaan saya sebagai seorang ibu, tetapi juga kegembiraan saya sebagai insan yang percaya bahawa seni dan warisan mesti dihidupkan, diamalkan dan diwariskan,” titah Tengku Ampuan.

“Setiap orang memiliki sifat seni dalam diri – percikan kreativiti yang mungkin mereka sendiri belum sedari. Ia mesti dipupuk, digalakkan dan diberi ruang.
“Kerana kita tidak tahu bakat dan kemahiran terpendam dalam diri kita sehinggalah ia diberi peluang untuk terserlah.”
Tunku Azizah menutup ucapannya dengan meluahkan bagaimana baginda mahu dikenang: sebagai seorang berjuang untuk seni dan kraf tanah air, berdiri bersama rakyat dan menginspirasi golongan muda untuk meneruskan obor perjuangan.
“Misi memelihara dan meraikan seni bukan milik saya sahaja, bukan milik istana, dan bukan milik kerajaan. Ia adalah misi yang mesti dipikul oleh semua,” titah baginda.