Formula Majid Majidi

Formula Majid Majidi

Pengarah filem dari Iran Majid Majidi menegaskan untuk menjadi global kita tidak boleh berfikir menjadi seperti Hollywood.

faisal tehrani

Baru-baru ini, pengarah filem Iran yang terkenal, Majid Majidi datang ke Kuala Lumpur, dan berinteraksi dengan sekumpulan karyawan filem tempatan. Wajah-wajah yang hadir dan mendengar celoteh Majid nampaknya pelbagai bangsa, menunjukkan karya beliau benar dikenal dan melampaui ras, kepercayaan dan corak acuan seni.

Majid terkenal menerusi filem-filemnya yang banyak memanfaatkan bakat mentah, selalunya kanak-kanak, sembari membiarkan orang biasa melakonkan watak yang kompleks dalam kehidupan. Filem beliau yang mendapat sambutan dan menang pelbagai hadiah serta pengiktirafan di peringkat sejagat antara lain adalah Children of Heaven, The Color of Paradise, Baran dan The Father. Saya secara peribadi menyukai Pedar atau The Father ini. Selain itu sebuah lagi karya hebat Majid, tentulah tidak lain tidak bukan, Muhamad: The Messenger of God sebuah karya epik mengenai sebahagian dari hayat Rasulullah saw. Saya berkesempatan menontonnya di Iran pada tahun 2015.

Selain mengarah filem, Majid juga penulis lakon layar, penerbit dan sebetulnya pernah berlakon tujuh lapan kali sebelum berada di belakang kamera.

Satu gagasan, atau barangkali falsafah yang terserlah dalam karya Majid adalah usahanya untuk menonjolkan ‘dignity of the ordinary’ atau secara mudahnya diterjemahkan begini, orang biasa pun ada kehormatan dan nilai diri juga. Mungkin juga dapat dikatakan, dalam tradisi Sunni (Majid bukan daripada tradisi ini) ia adalah satu bentuk estetik yang sering ditemukan dalam karya kesufian.

Justeru, dalam gagasan ini kita akan menemukan keindahan yang tidak terungkapkan dalam kehidupan seharian, di mana seniman akan memberi perhatian kepada hal-hal yang biasa, sederhana, rutin yang aman, serta kepentingan kerja-kerja biasa yang sering dilakukan tanpa dipedulikan orang pun. Watak-watak dalam kehidupan biasa ini akan memancarkan nilai yang penuh integriti, menghindar kemasyhuran atau tidak mengendahkan pencapaian luar biasa. Makanya dalam filem Majid kita akan menemukan seorang anak misalnya yang berlumba lari untuk memenangi tempat ketiga, betul tempat ketiga, dan bukannya tempat pertama. Dan saat dia menjadi jaguh hal ini menjadi satu masalah yang membingungkan.

Gagasan sebegini akan menampilkan kisah atau watak yang seringnya memiliki kerohanian, dan kedalaman yang tidak terjelaskan. Watak-watak ini akan dihadirkan dengan macam-macam perincian kecil hari-hari dalam kehidupannya. Dari kerja-kerja yang kelihatan tidak penting itu kita akan beroleh suatu cerita yang penuh makna, padahal ia hanyalah tugas-tugas yang kelihatan biasa. Jadinya cerita karyawan seperti Majid menjadi karya seni yang mententeramkan, rendah hati dan jiwa, dan penuh akhlak mulia. Kebetulan hari saya mendengar Majid berbahas begini di Iran juga terbit satu berita seorang pekerja pembersihan di stesen metro bawah tanah di Tehran telah memulangkan kembali kepada tuannya sekampit beg penuh barang kemas yang tercicir dalam gerabak.

Menonton filem Majid membawa kita secara tidak langsung kepada prinsip asas agama kita Islam; iaitu keadilan sosial, di mana Majid mengiktiraf kepentingan semua orang, khususnya mereka yang sering nampak terpinggir atau bekerja dalam pekerjaan yang dianggap rendah statusnya. Jadinya karya begini menawarkan sudut yang melegakan tentang kehidupan dalam dunia hari ini yang sepanjang masa menuntut kita untuk sentiasa menjadi ’luar biasa’.

Dalam celoteh Majid di Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau memulai ‘syarahnya’ dengan satu hal yang membuatkan semua karyawan yang hadir terpaku, dan pegun gamam. Majid menyatakan, dia selalu ditanyai bagaimana mendapat pengiktirafan antarabangsa? Atau apakah makna menjadi global? Dalam erti kata lain bagaimana hendak menjadi internasional, dan apa yang perlu kita lakukan?

Majid menegaskan, untuk menjadi global kita tidak boleh berfikir untuk menjadi seperti Hollywood.

Tanggapan awal ini tentulah tamparan luar biasa untuk semua yang hadir. Mana ada hati dan jiwa manusia biasa tidak mengimpikan perhatian selangit itu? Dewan senyap sunyi, dingin sejuk; dan masing-masing terlekat di kerusi memasang telinga.

Majid meneruskan, ‘Kita tidak akan dapat menyaingi Hollywood dari segi teknik, peralatan teknologi, dana besar, dan juga kita perlu memahami falsafah mereka berbeza’. Hollywood gesa Majid, tidak harus dijadikan parameter. Sebaik sahaja karyawan filem mencuba menjadi seperti Hollywood, itulah juga saatnya kita tidak lagi menjadi asli, dan sebaik itu juga ia hanya peniruan. Meniru Hollywood bermakna kita sedang cuba bersaing dengan mereka di luar litar, atau di luar liga. Satu hal yang mustahil berjaya.

Majid menekankan untuk menjadi global, seorang seniman harusnya memaut kembali kepada akar peradabannya, tiang rumah budayanya, kembali kepada sejarahnya, berpegang utuh kepada kepercayaannya, menggunakan bahasa lidahnya sendiri, meyakini akal budi dan semakin kuat kita berpegang kepada semua di atas, maka semakin dekatlah pengiktirafan global itu tiba.

Majid yang tumbuh dalam dunia analog berterusan meragukan dunia digital yang menurutnya menuntut ketergesaan, kelekasan, meruntuhkan kreativiti, menghakiskan jiwa dan roh.

Kemudian setelah celoteh yang macam-macam itu, Majid tiba-tiba berhenti dan bertanya kepada audien (iaitu karyawan filem tempatan yang sedang asyik masyuk mendengarkan kuliah masternya) suatu hal yang menurutnya membuatkan dia bingung.

Mengapa, soal Majid, sepanjang dia berada di KL, semua yang di lingkungannya, baik berbangsa Melayu, Cina dan India berbual dalam bahasa Inggeris, apakah kalian tidak mempunyai bahasa sendiri?

Dari kaca mata Majid, ia bercanggah dengan formulanya; dia melihat ini sebagai suatu kegagalan jati diri, merendahkan martabat budaya dan menjadi asal muasal, punca punci dan sebab musabab mengapa seniman di sini sukar bertanding, atau berganding dengan mereka yang besar di luar sana. Saya sebetulnya mahu persoalan ini dibiarkan begitu sahaja tidak berjawab. Lebih elok kita membiarkan sahaja Majid berteka-teki.

Di luar duga dan dengan penuh rasa terkejut, ada pula yang spontan bingkas dan secara tidak pandai serta remeh basi ‘mempertahankan’ hal ini, bahawa hal ini sepenuhnya lumrah, dan berlaku kerana faktor sosiobudaya dan sejarah, konon karyawan kita, atau bangsa Malaysia kuntum mekar dalam ‘buih-buih sendiri’.

Di situ, di saat itulah seluruh hasrat ‘master class’ bersama Majid yang dianjurkan oleh Finas dengan kerjasama Kedutaan Iran itu, musnah binasa. Ia hanya menunjukkan karyawan filem kita (atau apa pun seni) tidak atau belum lagi bersedia, kerana kita masih belum berupaya menggali dimensi yang disentuh Majid sebagai tunjang paling tunggal dalam berkarya, iaitu mengenal budaya sendiri. Ia tempelakan yang membuatkan saya sendiri kaku kaget, dan segan malu rasa ditelanjangi.

Maka itulah sebabnya kita terus berkarya larut dalam karat westoksikasi, gejala pembaratan yang dunianya asing; menunjukkan kita di jiwa dan minda masih terhamba oleh kuasa kolonial, atau dalam pandangan paling mudah menurut Majid, tak akan sama sekali mampu bersaing dengan mereka. Dan kalau pun kita mencuba ia bermakna kita bersedaya upaya meniru, dan apabila kita meniru makanya kita tidak asli. Dan kalau kelak kita diiktiraf sebelah dunia sana sekalipun ia bukanlah kerana kita jujur putih, atau hebat bestari; tetapi hanya kerana kita dijadikan sejenis ‘pet’, hewan kesayangan yang dikurung dalam sangkar berkilau emas untuk dihujahkan bahawa lihat, ini ada seekor pengkagum kami.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.