Lukis momen pengantin secara ‘live’ tarikan baru majlis kahwin

Lukis momen pengantin secara ‘live’ tarikan baru majlis kahwin

Pelukis muda bawa seni keluar dari galeri dan terus ke tengah dewan perkahwinan yang kini menjadi pilihan pasangan pengantin yang mahukan sentuhan eksklusif dan abadi.

Asyraaf Juhan
Asyraaf Juhan mengabadikan momen indah pengantin di atas kanvas, hasil lukisan langsung di lapangan.
PETALING JAYA:
Detik indah majlis perkahwinan lazimnya dirakam bidikan kamera, kini satu elemen baharu lebih artistik mula mencuri perhatian iaitu suasana majlis dilukis secara langsung

Mencabar diri keluar dari ruang galeri ke dunia nyata, Muhammad Asyraaf Juhan, 26, seorang pelukis muda lepasan Fakulti Seni Halus Universiti Teknologi Mara, antara insan seni yang menawarkan khidmat melukis kenangan eksklusif buat pasangan mempelai.

Asyraaf Juhan
Asyraaf Juhan yang mengajar di bengkel seni lukis Art Core Malaysia terus mengasah dan menggilap kemahiran di lapangan.

“Pada asalnya memang tak berani nak buat ‘live painting’ sebab sebelum ini saya ada masalah nak buat sesuatu lukisan itu saya tak boleh tergesa-gesa,” katanya, yang turut mengajar di bengkel seni lukis Art Core Malaysia.

Giat mengasah kemahiran bermula dengan tempahan yang memakan masa berhari-hari, anak jati Gombak ini boleh menghasilkan karya dalam masa hanya tiga ke enam jam sahaja, sepanjang majlis berlangsung.

“Paling cepat setakat ini saya siapkan adalah dalam tiga jam empat puluh lima minit atau tiga jam setengah, bergantung dekorasi pelamin,” ujarnya.

Asyraaf akan melukis latar seperti pelamin lebih awal sebelum ketibaan pengantin, dan kemudian menyambung potret pasangan itu secara langsung apabila mereka berada di pentas utama.

Asyraaf tetap mementingkan ketelitian meskipun berperang dengan masa. Pencahayaan, keadaan majlis dan pergerakan pengantin menjadikan tugasan ini mencabar.

Pasangan pengantin kelihatan gembira dan berpuas hati
Pasangan pengantin kelihatan gembira dan berpuas hati melihat hasil tangan Asyraaf Juhan. (Gambar @_amirulsyakirin)

“Pengantin memang mereka akan sibuk, jadi bila pengantin datang, kita memang terus henti lukis pelamin dan lukis pengantin sebab yang paling penting adalah pengantin dalam gambar itu,” katanya yang hampir setahun menawarkan khidmat melukis majlis.

Ujarnya,segala penat lelah terasa berbaloi setiap kali pengantin tersentuh melihat momen indah mereka diabadikan dalam bentuk lukisan.

“Reaksi daripada keluarga mahupun pengantin di mana bila kita tunjuk hasil yang kita dah bertungkus lumus selama berjam-jam, melihat senyuman ada yang menangis itu antara momen yang paling saya nikmati sebagai pelukis majlis,” kongsinya.

Media sosial bantu kerjaya pelukis

Asyraaf mula aktif melakukan siaran di TikTok sewaktu melukis, dan dari situ ramai pengikut mula menempah khidmatnya. “Bila orang nampak video saya melukis masa majlis, mereka terus hubungi tanya tempahan.”

Kini tempahannya sudah penuh sehingga pertengahan tahun depan, dengan harga antara RM500 hingga RM2,000 bergantung kepada saiz lukisan. Asyraaf pernah meraih pendapatan sehingga RM8,000 sebulan — sesuatu yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

“Saya ingin mencapai di tahap di mana ada syarikat sendiri dan mampu menggaji pelukis lain bekerja dengan saya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.