
Pemilik nama Ibrahim Anon, 60, kini kembali berkarya menggunakan nama dan watak kartun ‘Ujang’ ciptaannya pada 1993, namun menerusi kategori lain iaitu dalam bentuk 3D hasil janaan kecerdasan buatan (AI).
“Orang kata guna AI mudah, tapi bila saya melukis kartun dan masukkan dalam aplikasi itu ia jadi cacat. Mata terkeluar dan (kartun) itu rosak. Jadi saya lukis semula dan masukkan dalam aplikasi lain, kemudian masukkan balik dalam AI.
“Bila pergi ke MyIPO (Perbadanan Harta Intelek Malaysia) saya tanya boleh daftar atau tidak (nama dan watak Ujang versi 3D menggunakan AI), mereka kata boleh dan saya terus daftar,” katanya dalam temu bual FMT di studio animasi Anithink, yang turut menerbitkan siri kartun Keluang Man.

Ujang berkata, sejak Julai tahun lalu dia sudah memiliki enam hak cipta, dan antara watak rekaan terbarunya adalah Lebai Sahak, Kadir serta Bobot.
Sejak berkecimpung dalam bidang seni kreatif itu, Ujang mencipta puluhan karakter kartun antaranya Usop Sontorian, Intelligent Blues Club dan banyak lagi namun semua karyanya ‘dicuri’.
Kini, Ujang berterima kasih kepada MyIPO yang membantunya mendapatkan semula nama dan karya ciptaannya walaupun bukan versi bercetak.
“MyIPO beritahu karya saya untuk item percetakan semua sudah didaftarkan pihak lain. (Perkataan) Ujang, tandatangan, kartun, nama, tajuk majalah Ujang, jadi apa yang saya ada lagi?” katanya.

Jangan percaya 100%
Kartunis yang baru dibebaskan daripada status muflis selepas 24 tahun berkata, kes pelanggaran hak cipta dihadapinya adalah yang pertama dalam negara dan peguam memberitahu ia menjadi bahan rujukan perundangan ketika itu.
“Tahun 1993, ketika saya buat majalah itu…MyIPO pun tak wujud (lagi). Jadi, cara dia (syarikat) daftarkan tanda dagang itu pun saya tak faham prosesnya,” katanya menyingkap igauan lalu.
Ujang berkata, segalanya bermula apabila dia meminta 30% daripada hasil jualan majalah lawak, didakwanya mencecah 300,000 keping sebulan manakala baki 70% diserahkan kepada syarikat.
Namun, dia bukan hanya dinafikan hak 30% itu tetapi dikejutkan tindakan saman daripada syarikat atas alasan hak cipta karya milik mereka.

“Pengajarannya, jangan letak 100% kepercayaan pada orang,” katanya yang beberapa kali ditipu dalam tempoh 24 tahun.
Ujang kini berkolaborasi dengan beberapa syarikat selain mengeluarkan produk dagangannya sendiri, Eksplentes dan pakej memancing rumah bot di Tasik Kenyir, Terengganu, yang berstatus antarabangsa hasil penglibatan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta kerajaan negeri.
“Ini keutamaan saya sekarang, dulu saya dikenali dengan majalah,” katanya.