
Industri hiburan berdepan tamparan pandemik Covid-19 cukup mengesankan. Bukan saja dari segi mata pencarian, malah saban hari ada saja khabar penggiatnya yang ditimpa keuzuran mahupun pergi dijemput ilahi.
Bagi bekas vokalis kumpulan rock Jinbara, Tia, biarpun lebih selesa berada jauh dari radar industri hiburan tanah air, tidak bermakna perkembangan rakan seperjuangan tidak diendahkan.
“Bukan menjauhkan diri, tapi tiada perkembangan terbaru yang menarik untuk dikongsi. Saya masih lagi berhubung dengan rakan-rakan seperjuangan bila ada kesempatan,” jawab jujur pemilik nama sebenar Shamsul Bakhtiar Bin Zakaria ketika dihubungi FMT.
Finalis program realiti TV Gegar Vaganza ke-4 (GV4) yang popular dengan jolokan Abang Naga itu mengakui kehidupan di era pandemik ini adalah ujian yang banyak hikmahnya.
Namun pengalaman paling menakutkan sehingga mengundang panik adalah apabila telinga kirinya tiba-tiba tidak dapat mendengar.

“Ketika itu saya berada di Bachok, Kelantan kerana membawa ibu mentua mendapatkan dos kedua vaksinasi.
“Bayangkan tiba-tiba sebelah telinga langsung tidak dapat mendengar. Sebagai penyanyi dan pemuzik, walaupun sekarang tidak bekerja, ia sangat membimbangkan,” katanya.
Sebaik mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Kota Bharu, doktor menasihatkan pelantun lagu Farhana: Puteri bumi Kenyalang dan Patri itu untuk mengurangkan penggunaan fon kepala dan menjaga kesihatan.
Anak seni kelahiran Klang, Selangor yang gemar berjoging dan bermain badminton ini mengakui rutin itu terhenti sebaik negara dilanda gelombang Covid-19.
“Sebagai seorang penyanyi, beriadah adalah antara cara saya mengekalkan stamina ketika beraksi di pentas. Bayangkan rutin itu terhenti hampir dua tahun, memanglah berat badan naik mendadak.”
Susulan itu Tia, 51 terus melakukan pemeriksaan kesihatan penuh di sebuah klinik swasta dan terbukti kolesterol yang dahulunya tinggi kini semakin meningkat.

“Bila bacaan kolesterol mencecah 8.5 saya terus pasang azam untuk menukar cara pemakanan dan gaya hidup. Syukur ada isteri yang banyak membantu dari segi penyediaan ‘clean eating’ selain melabur dengan membeli basikal ‘in-door’ untuk bersenam,” katanya yang kini berjaya kembali memiliki berat badan ideal sejak mengubah cara pemakanan dan gaya hidup bermula Julai.
“Terdetik di hati, Allah ‘tegur’ gaya hidup tidak sihat saya agaknya, jadi dia tarik sementara deria pendengaran supaya saya sedar,” akurnya tertawa.
Kesihatan bagi vokalis bersuara lantang yang turut popular dengan jolokan Abang Naga ini adalah kekayaan yang sebenarnya.
“Ada duit banyak pun tak guna kalau sakit. Kita perlu sedar hakikat ini kerana masih ada insan tersayang yang mengharapkan kita. Jadi jagalah kesihatan, patuhilah SOP dan kurangkan berada di tempat awam walaupun kini ia dibenarkan.”
Rumahtangga yang dibina bersama bekas wartawan Berita Harian, Suzan Ahmad pada 2009 itu turut diserikan tiga cahaya mata Ahmad Naqiuddin, 20, Qystina Nayli, 18 dan Ahmad Nifail, 15.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]