Najib nafi cadang teruskan bon RM5 bilion selepas ditangguhkan

Najib nafi cadang teruskan bon RM5 bilion selepas ditangguhkan

Najib Razak berkata beliau memerlukan masa untuk memproses taklimat oleh dua bekas pegawai 1MDB yang menghadap Sultan Mizan Zainal Abidin.

Najib Razak dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas Perdana Menteri, Najib Razak menafikan beliau mencadangkan kepada dua bekas pegawai kanan 1MDB supaya meneruskan penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) selepas Sultan Terengganu ketika itu mengarahkan ia ditangguhkan.

Najib memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau bertemu bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dan bekas pengarah Ismee Ismail pada 22 Mei 2009, selepas mereka menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, berhubung urusan tersebut.

Beliau berkata, kedua-dua individu itu ingin bertemu dengannya untuk membincangkan apa yang berlaku semasa menghadap Sultan Mizan.

Dalam prosiding sebelum ini, Shahrol memberi keterangan bahawa beliau dan Ismee dipanggil ke Istana Terengganu di Jalan Kia Peng di sini untuk bertemu Sultan Mizan. Beliau berkata Sultan Mizan amat murka berhubung penerbitan IMTN itu.

Ismee pula memberi keterangan bahawa mereka mematuhi arahan Sultan Mizan dan menandatangani dokumen bagi menangguhkan penerbitan bon tersebut.

Najib berkata, beliau bertanya kepada kedua-dua individu itu sama ada mereka mempunyai salinan resolusi lembaga yang diluluskan berkaitan penangguhan itu, namun mereka tidak diberikan salinan dokumen tersebut.

“Mereka menyatakan bahawa semua perjanjian IMTN telah dimuktamadkan. Shahrol juga berkata bon tersebut habis langgan, dan jika IMTN dihentikan, Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) akan melanggar kewajipan kontraktualnya.

“Saya ingat (ketika itu) saya bimbang tentang jaminan kerajaan dan kemungkinan kesan terhadap pasaran bon jika TIA melanggar kontraknya,” kata Najib.

IMTN itu bertujuan untuk mendapatkan pinjaman RM5 bilion bagi pihak TIA.

Najib menafikan beliau mengarahkan Shahrol untuk meneruskan penerbitan IMTN atau menyatakan bahawa beliau akan ‘berbincang dengan Tuanku’.

Najib turut mempertikaikan keterangan Ismee yang didakwa memberi gambaran bahawa beliau mempunyai agenda tersembunyi, kerana Ismee mengatakan Najib mahu penerbitan IMTN diteruskan seperti yang dirancang.

“Sebagai seseorang dengan latar belakang kewangan, Ismee sepatutnya mengiktiraf kebimbangan saya adalah sah, bukannya memberi gambaran bahawa kebimbangan saya tidak berasas dan didorong oleh motif tersembunyi,” kata Najib.

“Shahrol dan Ismee kelihatan tidak pasti bagaimana untuk menangani situasi itu, dan saya juga tidak pasti pada ketika itu,” katanya.

Najib berkata, kerana tidak pasti, beliau tidak memberikan sebarang cadangan atau nasihat tentang bagaimana menyelesaikan perkara itu kerana memerlukan masa untuk memproses apa yang diberitahu oleh kedua-dua individu tersebut.

Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.