
Ketika memberi keterangan pada perbicaraan 1MDB Najib di Mahkamah Tinggi, Noh berkata, beliau hanya mendengar tentang perkara itu buat kali pertama hari ini, apabila Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar membangkitkannya semasa pemeriksaan balas.
Kamal Baharin berkata, salah satu pertikaian dalam kes 1MDB membabitkan dakwaan Najib ‘berminat’ dengan 1MDB – daripada penubuhan asalnya sebagai TIA sehingga pengambilalihan oleh kerajaan persekutuan.
“Adakah (Najib) menyatakan beliau berminat dengan TIA sebelum mesyuarat Jemaah Menteri?” soal Kamal Baharin.
Noh sebaliknya bertanyakan atas dasar apa pendakwaan menyatakan sedemikian.
Kamal Baharin: Kamu hanya perlu jawab ‘ya’ atau ‘tidak’.
Noh: Dia tidak (nyatakan sebarang minat).
Apabila Kamal mencadangkan Najib mahu kerajaan persekutuan mengambil alih TIA, Noh tidak bersetuju.
‘Najib cadang TIA kekal dengan kerajaan Terengganu’
Semasa pemeriksaan utama hari ini, Noh memberitahu Mahkamah Tinggi, ketika mesyuarat Jemaah Menteri sepanjang Jun 2009, Kementerian Kewangan, yang diterajui Najib, mencadangkan agar TIA kekal dengan kerajaan Terengganu.
Beliau berkata, Jemaah Menteri kemudian bersetuju mengambil alih entiti itu disebabkan ‘masalah’ dalamannya.
“Keputusan (mengambil alih TIA) ialah keputusan kolektif Jemaah Menteri,” kata Noh.
Beliau juga mendakwa, sekiranya Najib mahu menyegerakan pengambilalihan TIA oleh kerajaan persekutuan, dia boleh melakukannya ‘dalam masa seminggu’.
Noh juga berkata, topik penubuhan TIA pertama kali dibangkitkan kepada Jemaah Menteri pada 12 Dis 2008. Pada masa itu, Najib ialah menteri kewangan dalam pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.
“(Najib) boleh sahaja menyediakan kertas Jemaah Menteri seminggu selepas (mesyuarat 12 Dis 2008), jika dia ada kecenderungan untuk berbuat demikian, Bagaimanapun, dia hanya membentangkan kertas itu selepas empat bulan,” katanya.
Najib dibicarakan atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan dana didakwa milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan diteruskan pada 27 Mac di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.