
Kehadiran Nabila Razali yang membawa anak patung dinosaur dalam sesi temu janji suntikan vaksin Covid-19, baru-baru ini, mengundang pelbagai kritikan netizen.
Isnin lalu, Nabila, 28, memuat naik video dan gambar di Instagram menunjukkan dia berada di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaya (UM) untuk mendapatkan suntikan dos pertama.
Ketika diberi suntikan, dia kelihatan memeluk erat patung kesayangan itu yang diberi nama Baby Joong-ki sempena nama pelakon Korea, Song Joong-ki.
“Alhamdulillah, saya bersama Baby Joong-ki. Saya menerima dos pertama suntikan vaksin di Universiti Malaya sebentar tadi.
“Prosesnya begitu cepat dan langsung tidak sakit. Semua petugas barisan hadapan begitu baik,” tulisnya.
Walaupun ada yang boleh menerima personaliti keanak-anakan bekas peserta Akademi Fantasia itu namun ramai netizen mengecamnya apabila membawa barangan tidak penting ke temujanji suntikan vaksin.
“Kenapa perlu bawa benda itu? Banyak kuman dan virus boleh melekat padanya.
“Apa faedahnya? Tidak hairanlah jika selepas ini ramai yang datang membawa anak patung masing-masing,” tulis seorang netizen.
Selain itu, ada juga netizen yang kurang berpuas hati apabila dia berpeluang untuk membuat rakaman ketika suntikan dilakukan.
“Saya ingin mengeluarkan kamera ketika disuntik tempoh hari tetapi dimarahi pula. Kenapa ya?
“Tetapi tidak ada masalah pula untuk awak membawa patung bersama. Hidup ini tidak adil,” kata seorang netizen.
Seorang lagi netizen menuduh kakitangan PPV mengamalkan sikap pilih kasih dalam menguatkuasakan peraturan mereka.
“Semua dibenarkan jika membabitkan selebriti. Boleh merakam, ambil gambar, membawa patung dan isteri atau suami juga dibenarkan masuk.
“Semalam, sepupu ingin merakam ibu saudara saya mendapatkan vaksin tetapi tidak dibenarkan jururawat,” luah netizen.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]