Noor Nabila sah isteri Engku Emran

Noor Nabila sah isteri Engku Emran

Noor Nabila sah menjadi isteri Engku Emran dengan hanya sekali lafaz.

Nabila menerima sebentuk cincin sebagai mas kahwin. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Akhirnya terjawab teka-teki yang menjadi tanda tanya ramai mengenai hubungan cinta Noor Nabila Mohd Noor, 36, iaitu kakak kepada selebriti popular Neelofa dan ahli perniagaan, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 46, apabila pasangan ini selamat diijab kabulkan pagi Jumaat.

Noor Nabila sah menjadi isteri kepada Engku Emran, sekali lafaz dengan mas kahwin berupa sebentuk cincin. Bagaimana pun, tiada dulang hantaran diberi dan dibalas pasangan pengantin. Jumlah wang hantaran juga tidak dimaklumkan.

Pasangan itu dinikahkan adik lelaki Nabila iaitu Mohamed Aqief yang berwakil walikan bapa kandung mereka di Masjid At Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, jam 10.02 pagi.

Kisah pernikahan Nabila dikongsi adiknya Neelofa melalui Instagram Story miliknya. Turut kelihatan hadir pada majlis itu adalah ahli keluarga pasangan tersebut serta kenalan.

Menurut Nabila dia mula mengenali Engku Emran pada Ogos tahun lalu dan mula rapat sekitar hujung tahun lalu. Mereka turut berkongsi minat yang sama termasuk aktiviti berbasikal.

Sejak awal bulan ini, kisah mengenai hubungan cinta Nabila dengan Engku Emran sering diperkatakan sehingga mendapat liputan meluas di media Indonesia. Namun, keduanya terus membisu tanpa mengesahkan hubungan tersebut.

Ini merupakan perkahwinan kedua Nabila yang pernah berkahwin dengan pelakon Sharnaaz Ahmad tetapi bercerai Julai tahun lalu. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden.

Manakala, buat Engku Emran merupakan perkahwinan ketiganya, selepas dua perkahwinan terdahulu bersama pelakon popular Erra Fazira dan pelakon Indonesia, Laudya Cynthia Bella berakhir dengan perceraian.

Perkahwinan dengan Erra, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, manakala perkahwinan dengan Laudya tidak dikurniakan cahaya mata.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.