Sebat depan orang ramai

Sebat depan orang ramai

Pelaksanaan hukuman sebat terhadap pesalah jenayah takzir di khalayak bertujuan 'memberi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan kesalahan sama'.

Mohsin Abdullah

Hari ini selepas sembahyang Jumaat seorang lelaki akan disebat di hadapan khalayak di Masjid Al Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu yang juga dikenali masyarakat tempatan sebagai Masjid Ladang.

Anda yang mengikuti kes ini tentu tahu lelaki itu bernama Mohd Affendi Awang berusia 42 tahun. Dia dihukum enam kali sebatan yang seperti dikata tadi dijalankan di hadapan khalayak.

Hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 Nov lalu selepas lelaki itu mengaku salah melakukan khalwat berulang. Hukuman mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Ini bukan hukuman sebat yang sering kita dengar yakni bersabit kesalahan dadah, bunuh, rogol mengikut Kanun Keseksaan. Diulangi ini perundangan syariah dikuatkuasakan di Terengganu yang diperintah PAS. Kesalahannya berkait maksiat yang dilihat satu jenayah.

Menurut laporan Bernama bertarikh 25 Dis 2024 Affendi ialah individu pertama di Terengganu yang dihukum dengan enam sebatan di khalayak. Tetapi pada 3 Sept 2018 Bernama melaporkan dua wanita disebat enam kali di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu. Mereka didapati bersalah melakukan hubungan sejenis.

Hukuman sebat ke atas dua wanita itu dilaksanakan di satu sudut bilik mahkamah dan disaksikan lebih 100 orang termasuk pengamal media, keluarga dan peguam syarie. Oleh itu berdasarkan laporan Bernama, Affendi bukanlah individu pertama di Terengganu dihukum di depan khalayak seperti dilaporkan juga oleh Bernama.

Apa pun kedua-dua kes mendapat perhatian umum dan ada dalam kalangan pakar perundangan dan aktivis hak asasi yang mengkritik hukuman itu serta Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) itu sendiri. Saya tidak berhasrat mengulas aspek itu. Penulisan ini bukan cuba menjawab sama ada perundangan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak.

Juga bukan untuk menyentuh tuduhan konon PAS mewujudkan enakmen berkenaan untuk tujuan politik dengan memaparkan ‘keislamannya’ bagi meyakinkan rakyat Terengganu yang majoritinya orang Melayu Islam.

Cuma Umno Terengganu ada menafikan ia mengeluarkan kenyataan bantah hukuman sebat di khalayak yang dikuat kuasa hari ini. Ketua Pemudanya Tengku Haphiz Tengku Putera diberitakan berkata beliau percaya ‘perbuatan fitnah adalah manipulasi politik terhadap Umno’. Pada pemahaman saya Umno menyimpulkan jika ia dilihat membantah hukuman hari ini ia akan dituduh antiperundangan Islam yang mungkin menjauhkan orang Melayu Islam daripadanya.

Perundangan syariah juga dilaksanakan di Aceh, Indonesia. Sebat atau ‘cambuk’ istilah digunakan di Aceh dikenakan ke atas pesalah zina, perjudian, menjual alkohol. Ia dijalankan di hadapan umum di masjid selepas sembahyang Jumaat atau di balai kota. Disaksikan ratusan orang. Ada yang merakamkan video.

Orang yang didapati bersalah oleh Mahkamah Syariah akan dihukum cambuk yang paling banyak 100 kali sebatan.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis politik berpendapat sebagai produk politik undang-undang penerapan syariat Islam di Aceh adalah cara Jakarta merayu rakyat Aceh supaya meredam keinginan untuk merdeka dan bebas dari Indonesia waktu itu yakni tahun 2002. Padahal kata mereka tidak semua rakyat Aceh inginkan undang-undang itu.

Kini, setelah damai penerapan syariat secara ‘kaffah’ hanya dijadikan jargon politik untuk menarik pemilih kata mereka. Menurut penganalisis lagi ‘penerapan syariat Islam di Aceh hanya sebagai simbol dan alat para politikus untuk mencari simpati rakyat mendapatkan suara’.

Berbalik soal sebatan ke atas Affendi di masjid hari ini. Kata Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu Muhamad Khalil Abdul Hadi, pelaksanaan hukuman sebat terhadap pesalah jenayah takzir di khalayak bertujuan ‘memberi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan kesalahan sama’.

Dalam kes dua wanita yang disebat dalam mahkamah pada 2018 yang disebut tadi, Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail juga berkata hukuman itu adalah berbentuk pengajaran dan bukan untuk mencederakan. Mungkin juga bukan untuk memalukan si kena sebat? Jika saya diizin menambah kata.

Menjelang hukuman dijalankan, Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor mengeluarkan kenyataan tiga hari lalu. Antara kandungannya ialah menasihati jemaah keluar dengan segera dari masjid sebaik selesai sembahyang Jumaat dan jangan berkumpul di pekarangan masjid.

Kata beliau, hanya 70 individu dibenarkan memasuki ruang tempat hukuman sebat dijalankan. Polis akan memastikan tidak ada alatan elektronik atau telekomunikasi dibawa masuk kerana sebarang rakaman tidak dibenarkan.

Saya tutup artikel dengan pertanyaan: Mengapa hanya 70 orang yang boleh tengok hukuman sebatan dijalankan? Kan falsafah hukuman untuk pengajaran. Maka rasanya lebih baik semua yang ada boleh tengok. Ini mengambil aspek ‘pengajaran’ yang dikatakan Khalil.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.