
Setiausaha Agung, Muhammad Faiz Fadzil, merujuk kes seorang remaja perempuan 15 tahun hamil akibat hubungan dengan kanak-kanak lelaki 11 tahun di Kelantan, yang disifatkannya sebagai isyarat masalah moral semakin kronik.
Katanya, kes seumpama itu menunjukkan kelemahan sistem pendidikan dan undang-undang sedia ada dalam mendidik serta melindungi generasi muda.
“Undang-undang tidak mencukupi. Pendidikan moral dan seks perlu ditambah baik untuk membentuk keseimbangan intelek, jasmani dan rohani pelajar,” katanya dalam kenyataan.
Faiz turut menekankan pentingnya pendekatan terbuka terhadap isu ini, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu yang sering melihat pendidikan seks sebagai sesuatu yang tabu.
“Kehamilan luar nikah lebih memudaratkan dan juga bertentangan dengan agama. Pendidikan seks bukan soal liberal, tetapi soal tanggungjawab,” tegasnya.
Beliau juga mempersoalkan keberkesanan pendidikan agama di negeri seperti Kelantan yang masih berdepan kes moral serius, dan menyeru pemimpin agama serta kerajaan berganding bahu menangani isu berkenaan.
“Sudah tiba masa kita menolak pemikiran sempit dan bergerak ke arah islah yang berlandaskan ilmu serta maqasid syariah,” katanya.