Lelaki Malaysia poligami nikah di selatan Thai turun 40%

Lelaki Malaysia poligami nikah di selatan Thai turun 40%

Majoriti lelaki mahu nikah berasal Kelantan dan Terengganu batal hasrat susulan kuat kuasa larangan rentas sempadan melalui pangkalan haram.

kahwin
Sebelum kuat kuasa larangan, pihak berkuasa agama Narathiwat berkata maksimum lima pasangan negara dinikahkan sehari namun ketika ini satu ke dua pasangan sahaja.
PETALING JAYA:
Pasangan Malaysia yang majoritinya mahu berpoligami bernikah di selatan Thailand menurun 40%, susulan penguatkuasaan larangan rentas sempadan melalui pangkalan haram sejak 1 Dis lalu.

Timbalan Presiden Majlis Agama Islam Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat, berkata ramai pasangan dari negara ini berusia 30 tahun ke atas membuat keputusan membatalkan perjalanan kerana pemeriksaan ketat.

Katanya, sepanjang tahun lalu, lebih 300 pasangan Malaysia berkahwin di Narathiwat dengan majoriti berasal dari Kelantan dan Terengganu.

“Tetapi, sejak larangan rentas sempadan guna pangkalan haram, ramai rakyat Malaysia sama ada memutuskan untuk tidak datang ke Narathiwat atau memilih untuk pergi terus ke wilayah Songkhla.

“Dalam tempoh sebulan bermula Disember hingga 1 Jan tahun ini, kita merekodkan penurunan kira-kira 40%,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, sejak penguatkuasaan larangan rentas sempadan haram dilaksanakan, sekitar empat hingga lima pasangan Malaysia berkahwin di Narathiwat dalam sehari, namun kini hanya merekodkan satu atau dua pasangan sehari.

“Bagi kami ia tidak sepatutnya menjadi masalah kepada kami untuk menjalankan akad nikah asalkan pasangan mematuhi peraturan dan membawa semua dokumen yang diperlukan. Kita sentiasa memudahkan urusan mereka dan mereka perlu membayar yuran seperti yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut berharap pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla dapat melengkapkan dokumen perkahwinan pasangan Malaysia dalam masa sehari.

Pada masa sama, Aziz memaklumkan seramai 30 ahli jawatankuasa dilantik oleh majlis agama itu untuk menikahkan pasangan Malaysia dan Thailand.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.