Johor lanjut waktu rehat Jumaat sektor swasta ke 2 jam

Johor lanjut waktu rehat Jumaat sektor swasta ke 2 jam

Waktu rehat pada Jumaat untuk sektor swasta di Johor sebelum ini selama sejam 30 minit.

onn
Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi berkata keputusan melanjutkan waktu rehat kepada dua jam bagi membolehkan umat Islam menunaikan solat Jumaat dengan selesa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Johor menetapkan waktu rehat bagi sektor swasta pada Jumaat dilanjutkan kepada dua jam berbanding 90 minit sebelum ini.

Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi berkata keputusan itu bagi membolehkan umat Islam menunaikan solat Jumaat dengan selesa.

Menurutnya jumlah surau termasuk dewan dalam kawasan sekolah juga akan ditambah.

“Bagi memastikan pelajar lelaki beragama Islam dapat menunaikan solat Jumaat, Jabatan Pendidikan Johor (JPNJ), Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Ia termasuk menambah bilangan surau, termasuk surau atau dewan dalam kawasan sekolah yang menepati kriteria untuk diberikan kebenaran melaksanakan solat Jumaat,” katanya menurut Sinar Harian ketika membentang Belanjawan Johor 2025 di Kota Iskandar.

Pada 7 Okt lalu, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah cuti hujung minggu di Johor ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad mulai 1 Jan depan.

Pertukaran cuti hujung minggu dari Jumaat dan Sabtu ketika ini dibuat selepas mendapat perkenan dan restu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta pandangan Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ).

Pada 1 Jan 2014, Sultan Ibrahim menukar cuti hujung minggu Johor kepada Jumaat dan Sabtu sebagai penghormatan kepada Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Islam sebagai agama rasmi negeri.

Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula 1994 semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin selaku menteri besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.