
Manakala, seorang pakar berkaitan hak reproduktif pula berkata ia adalah isu berulang yang tidak pernah membawa penyelesaian konkrit kerana sensitiviti.
Pengasas bersama Yayasan Chow Kit, Hartini Zainudin, berkata jumlah itu menandakan ketidaksampaian maklumat dan pendidikan kesihatan reproduktif kepada remaja sehingga mereka tidak ada pengetahuan asas tentang tubuh badan, risiko hubungan seksual atau bagaimana mendapatkan bantuan secara selamat.

Katanya, akses kepada sokongan pencegahan dan kaunseling masih terhad terutama bagi remaja yang tidak bersekolah atau berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Stigma, ketakutan dihukum serta norma yang menutup perbincangan tentang seks dan hubungan lagi menghalang remaja daripada mendapatkan bantuan awal.
“Ini kegagalan sistem. Kami gagal memberi remaja maklumat, ruang selamat, perkhidmatan mesra remaja serta sistem sokongan yang berfungsi,” katanya kepada FMT.
Justeru, Hartini mencadangkan kerajaan memperkenal dan mewajibkan pendidikan kesihatan reproduktif dan seksual yang komprehensif di sekolah bagi menangani masalah itu.
“Ia bukan ceramah moralistik semata-mata tetapi pendidikan yang berfakta, selamat dan bersesuaian dengan tahap umur bagi memastikan persefahaman,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan boleh mempertimbang mewujudkan ‘klinik mesra remaja’ secara dalam talian di klinik kerajaan, universiti dan komuniti bagi menawarkan kaunseling privasi serta bimbingan psikososial tanpa stigma dan tidak menghakimi.
Pendidikan seks menyeluruh

Sementara itu, Dr Choong Sim Poey daripada Reproductive Rights Advocacy Alliance Malaysia berkata, pelbagai cadangan penyelesaian dikemukakan tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana faktor sensitiviti.
Antaranya termasuk pendidikan seks yang lebih menyeluruh di sekolah memandangkan ramai remaja mula aktif secara seksual pada usia 13 tahun ke atas, seperti dibuktikan oleh tinjauan.
Menurut Choong, perkhidmatan kontraseptif daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) harus lebih terbuka kepada individu yang tidak berkahwin.
Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri mendedahkan 41,842 remaja berusia 19 tahun ke bawah direkodkan hamil bawah umur antara 2020 hingga 2024.
Katanya, jumlah itu termasuk remaja sudah berkahwin dan hamil luar nikah, dengan kira-kira 50% Melayu, Iban (11%), Orang Asli Semenanjung (9%), Cina (5%), India (3%) dan baki etnik lain.