Sepahtu Reunion Live 2020 bersiaran tanpa penonton

Sepahtu Reunion Live 2020 bersiaran tanpa penonton

Program yang mula bersiaran pada hari Khamis ini tetap dengan misi menghiburkan penonton, malah menjadikan ‘norma baharu’ sebagai pembakar semangat.

Sepahtu Reunion Live 2020 bersiaran pada Khamis lalu.

Kuala Lumpur: Buat pertama kalinya, program komedi Sepahtu Reunion Live 2020 yang bersiaran secara langsung dari Teater Shah Alam ini tanpa sorakan dan gelak tawa penonton.

Namun begitu, program yang mula disiarkan pada hari Khamis lalu ini tetap dengan misi menghiburkan penonton, malah menjadikan ‘norma baharu’ sebagai pembakar semangat.

Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh, penghasilan program Sepahtu Reunion Live bagi tahun ini merupakan salah satu inisiatif untuk menghiburkan penonton Astro Warna dan peminat kumpulan Sepahtu yang sudah tentu merindukan ‘pikat line’ dari Shuib, Rahim, Jep dan Pak Ya.

“Dengan pengisian menarik dan menghiburkan ini, kami amat bertuah kerana masih diberikan peluang untuk menghasilkan karya seni kami walaupun dibelenggu dengan cabaran pandemik COVID-19.

“Walaupun pembakar semangat bagi pelawak dan kru produksi adalah gelak ketawa dan reaksi penonton namun, saya amat kagum dengan komitmen yang diberikan oleh semua yang terlibat. Mereka sama-sama bertungkus lumus menjayakan program yang saban tahun kami hasilkan ini,” katanya.

Antara aksi menghiburkan dari kumpulan Sepahtu.

Ahli kumpulan Sepahtu, pemilik nama Shahmira Muhamad atau lebih dikenali sebagai Shuib berkata dia pada mulanya agak bimbang apabila diberitahu produksi akan berjalan tanpa penonton, namun teruja untuk kembali beraksi di atas pentas.

“Selama 5 tahun Sepahtu Reunion bersiaran, ini merupakan kali pertama tidak ada penonton bersama kami. Saya seronok dapat kembali. Sepahtu Reunion adalah platform yang paling saya minati dan program ini adalah sebuah kebanggaan bagi diri saya.

“Alhamdulillah, bila kembali, rasa syukur sangat walaupun dalam norma baharu. Walaupun siaran langsung akan berjalan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kami tak berkompromi dari segi kualiti kerja dan persiapan yang dibuat. Kami tahu ramai yang akan menonton di kaca televisyen. Jadi, kami semua akan berikan yang terbaik buat peminat kami.” ujar Shuib lagi

Pelbagai babak menarik diselitkan dalam program kesukaan ramai ini.

Saksikan Sepahtu Reunion Live 2020 setiap Khamis, jam 9 malam secara langsung di Astro Warna (127) dan Warna HD (107).

Program berdurasi 60 minit ini juga boleh disaksikan di platfrom digital melalui aplikasi Astro GO dan secara strim dengan kemudahan on demand.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.