MATTA ingatkan pemain industri pelancongan tidak abai SOP susulan kelonggaran PPN

MATTA ingatkan pemain industri pelancongan tidak abai SOP susulan kelonggaran PPN

Presidennya Mohd Khalid Harun berkata mutu perkhidmatan industri pelancongan tempatan harus setanding dengan penggiat sektor itu di negara jiran bagi menyambut kedatangan pelancong asing apabila sempadan negara dibuka dalam waktu terdekat.

Presiden MATTA Mohd Khalid Harun berkata, sekiranya kepatuhan SOP tidak diikuti dan terus diabaikan, dikhuatiri ia akan melonjakkan kes Covid-19 di dalam negara sekali gus menyebabkan penutupan sektor pelancongan sekali lagi oleh kerajaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mengingatkan pemain industri pelancongan supaya menitikberatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) selain meningkatkan mutu perkhidmatan susulan kelonggaran diberikan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Presidennya Mohd Khalid Harun berkata mutu perkhidmatan industri pelancongan tempatan harus setanding dengan penggiat sektor itu di negara jiran bagi menyambut kedatangan pelancong asing apabila sempadan negara dibuka dalam waktu terdekat.

“Sekiranya mutu perkhidmatan tidak dipertingkat secara profesional maka negara akan kehilangan kedatangan pelancong luar. Begitu juga dengan kepatuhan SOP yang telah digariskan oleh kerajaan terutamanya bagi sektor perhotelan, penginapan dan restoran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai contoh kata Khalid ialah penyediaan sarung tangan bagi pengunjung yang ingin menikmati juadah bufet di hotel selain penjarakan fizikal serta sanitasi meja dan tempat duduk yang telah digunakan.

Beliau berkata sekiranya kepatuhan SOP tidak diikuti dan terus diabaikan, dikhuatiri ia akan melonjakkan kes Covid-19 di dalam negara sekali gus menyebabkan penutupan sektor pelancongan sekali lagi oleh kerajaan.

Pada masa sama beliau menasihatkan pengunjung pusat pelancongan agar tidak terlalu ghairah dan alpa kepada kepatuhan SOP dengan bersesak-sesak di restoran dan kawasan tumpuan pelancong termasuk Cameron Highlands seperti dilaporkan di media sosial baru-baru ini.

Khalid berkata pengusaha pelancongan juga perlu mengehadkan jumlah pengunjung bagi setiap hari untuk mengelakkan kesesakan serta memudahkan penjarakan fizikal dan mematuhi kesemua SOP yang ditetapkan.

Beliau turut menyarankan pihak berkuasa tempatan untuk menjaga landskap yang sudah lama terbiar seperti di sepanjang jalan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ke Pekan Kuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.