Perbicaraan dalam talian kekal sebagai norma baharu, kata Ketua Hakim Negara

Perbicaraan dalam talian kekal sebagai norma baharu, kata Ketua Hakim Negara

Tengku Maimun Tuan Mat berkata, badan kehakiman sentiasa mengguna pakai kemajuan teknologi dan perbicaraan secara maya menandakan kemajuan.

Selepas wabak Covid-19 bermula pada Mac 2020, mahkamah terpaksa meneruskan kes dalam talian setelah mendapat persetujuan kedua-dua pihak, kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.
PUTRAJAYA:
Mahkamah maya dan perbicaraan dalam talian yang mula diamalkan semasa wabak Covid-19 akan kekal sebagai sebahagian daripada sistem kehakiman, kata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Hakim tertinggi itu berkata, prosiding jarak jauh juga kini menjadi “aspek yang kekal dalam sistem kepeguaman kita”.

“Saya kata ‘kekal’ kerana ada pihak yang bertanya bila dan sama ada badan kehakiman akan kembali menjalankan perbicaraan secara bersemuka mengikut normanya,” katanya.

Tengku Maimun menjelaskan, badan kehakiman sentiasa mengguna pakai kemajuan teknologi dan perbicaraan dalam talian atau secara maya “menandakan kemajuan kita ke arah ini”.

Chief Justice Tengku Maimun Tuan Mat.

“Kemunculan perbicaraan dalam talian bukan sekadar satu cara untuk mengharungi wabak, tetapi ia menjadi ciri kekal sistem keadilan kita. Oleh itu, tiada persoalan untuk berpatah balik,” katanya ketika merasmikan tahun perundangan, bertema “Akses kepada Keadilan dan Norma Baharu”, hari ini.

Selepas wabak Covid-19 bermula pada Mac 2020, beliau berkata, mahkamah terpaksa meneruskan kes dalam talian setelah mendapat persetujuan kedua-dua pihak, tertakluk kepada kepentingan keadilan.

Ini kerana tiada undang-undang bersifat permisif yang jelas menetapkan bahawa perbicaraan dalam talian dibenarkan atas arahan mahkamah.

“Kini, Parlimen secara afirmatif campur tangan untuk membenarkan perbicaraan dalam talian tanpa mengira persetujuan namun masih tertakluk kepada kepentingan keadilan.

“Tiada ruang bagi pertikaian mengenai kewajaran kaedah itu memandangkan peralihan ini bukan khusus bagi Malaysia,” katanya.

Tengku Maimun berkata, hakim telah menyesuaikan diri dengan perbicaraan jarak jauh, sekurang-kurangnya dalam konteks kes sivil, permohonan jenayah dan rayuan jenayah.

Katanya, teknologi perkongsian skrin membantu hakim merujuk dokumen, manakala tahap dan sifat kepeguaman bertambah baik tanpa mengira sama ada membabitkan peguam senior atau junior.

Perbicaraan jarak jauh turut memudahkan peguam kerana tidak perlu membuang masa dalam perjalanan, tambahnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui perbicaraan jarak jauh tidak sempurna kerana kadangkala terdapat masalah dengan bunyi dan sambungan internet dan perbicaraan sedemikian kadangkala tidak dapat dilaksanakan apabila pihak terbabit tidak mempunyai cara atau akses yang diperlukan.

Tanpa mengira kekangan, manfaat dan kebolehaksesan secara keseluruhan yang didapati daripada perbicaraan jarak jauh melebihi kelemahannya, yang boleh diatasi.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada badan perundangan kerana meluluskan undang-undang membolehkan perbicaraan dalam talian dijalankan.

“Justeru, badan kehakiman terus komited untuk menegakkan akses kepada keadilan dan kami akan terus memutuskan kes tanpa rasa takut atau pilih kasih selaras dengan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.