
Presiden Persatuan Hotel Malaysia N Subramaniam berkata, walaupun industri “gembira jika sempadan dibuka lebih awal”, namun beliau mengakui hotel-hotel belum bersedia sepenuhnya untuk menyambut tetamu.
Subramaniam berkata, wabak Covid-19 dan sekatan pergerakan susulnya menjejaskan industri pelancongan dan hotel dengan ramai kakitangan mencari peluang pekerjaan di tempat lain.
Keadaan ini memburukkan lagi masalah kekurangan tenaga kerja sedia ada, yang antaranya berpunca daripada kurang minat terhadap industri disebabkan persepsi bahawa ia membabitkan pekerjaan yang “kotor, berbahaya dan sukar” (3D).
Dalam sesetengah kes, bekas pekerja enggan kembali ke industri disebabkan ketidaktentuan, termasuk larangan perjalanan lanjut dan kebimbangan mengenai keselamatan dalam kalangan pekerja pembersihan kerana mungkin terdedah kepada wabak Covid-19 semasa membersihkan bilik.
“Kami perlu lebih ramai pekerja dan untuk itu kami perlu pakej menarik untuk mendapatkan mereka kembali. Kita perlu tarik penganggur ke bidang perhotelan dan ubah persepsi bahawa ia adalah pekerjaan 3D,” katanya kepada FMT.
Subramaniam juga berkata, persatuan itu telah bercakap dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri mengenai langkah membenarkan lebih ramai pekerja asing masuk untuk mengisi kekosongan jawatan, serta pemberian subsidi gaji tambahan untuk menarik lebih ramai kembali ke bidang perhotelan.
Pengurus Besar Dewan Perniagaan Ireland di Malaysia, Donal Crotty berkata, walaupun negara ini berjaya memberi vaksinasi kepada majoriti populasi, ia belum mendapat manfaat daripadanya.
“Kita mendahului negara lain di rantau ini dari segi vaksinasi tetapi kita masih berkelakuan seperti hanya 40% populasi telah menerima vaksin.
“Kita mesti buka sempadan antarabangsa demi ekonomi. Thailand dan Indonesia sudah pun mula membuka (sempadan),” katanya.
Menurut penjejak vaksinasi New York Times, Thailand dan Indonesia masing-masing hanya mencapai kadar 50% dan 30% lengkap vaksinasi berbanding Malaysia, yang mencapai 77%.
Crotty berkata, manfaat membuka sempadan negara lebih daripada manfaat ekonomi langsung daripada perbelanjaan pelancong dan pengembara.
“Ia mengenai mesej yang anda hantar kepada rakyat dan dunia. Pembukaan semula sempadan antarabangsa adalah satu pernyataan keyakinan,” tambahnya.
“Kita perlu beri keyakinan kepada orang ramai. Vaksinasi dan prosedur operasi standard (SOP), semuanya adalah sebahagian daripada norma baharu. Kita tidak sepatutnya hidup dalam keadaan takut.”
Beliau percaya penutupan sempadan menjadi sebab ekonomi masih belum benar-benar pulih walaupun negara berada dalam mod pemulihan.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata, sempadan antarabangsa sepatutnya dibuka semula selewat-lewatnya pada 1 Jan.
“Itu pun penantian yang terlalu lama,” kata Crotty.
“Ini bukan tentang 2022 atau 1 Jan, ini mengenai sekarang. Setiap hari sempadan kekal ditutup, puluhan ribu, terutamanya dalam sektor pelancongan, makanan dan minuman (F&B), dan hiburan tiada pekerjaan, rugi besar dan mempertaruhkan masa depan mereka.”