PRN Melaka bakal cetus lonjakan baharu kes Covid-19, kata badan pemikir

PRN Melaka bakal cetus lonjakan baharu kes Covid-19, kata badan pemikir

Kemungkinan besar akan ada kes-kes 'breakthrough' di mana majoritinya adalah individu yang telah menerima vaksin.

Perhimpunan pilihan raya akan tetap diteruskan walaupun setelah amaran dikeluarkan dan SOP akan ‘dipatuhi secara terpilih atau diabaikan sama sekali’, kata Azrul Mohd Khalib.
PETALING JAYA:
Lonjakan baharu kes Covid-19 akan berlaku susulan pilihan raya negeri (PRN) Melaka, kata ketua sebuah badan pemikir kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, kemungkinan besar akan ada kes “breakthrough” dengan majoritinya adalah individu yang telah menerima vaksin.

“Ini pasti akan berlaku. Apa yang dibimbangi adalah bilangan orang yang perlu dimasukkan ke hospital kerana sakit teruk dan meninggal dunia akibatnya,” katanya kepada FMT sebagai respons kepada larangan kerajaan terhadap perhimpunan politik dan sosial bagi tujuan kempen pilihan raya.

Azrul berkata, perhimpunan pilihan raya akan tetap diteruskan walaupun setelah amaran dikeluarkan dan prosedur operasi standard (SOP) akan “dipatuhi secara terpilih atau diabaikan sama sekali” kerana ahli politik mahu dilihat berjabat tangan, menyambut mesra dan bercakap dengan penyokong tanpa memakai pelitup muka.

Azrul Mohd Khalib.

“Kita perlu akui hakikat bahawa Malaysia tidak mampu menganjurkan pilihan raya berskala besar yang menyaksikan pengundi menyertai aktiviti berkempen dengan selamat dan membuang undi pada masa wabak penyakit berjangkit,” katanya.

“Ini dapat dilihat di Sabah dan situasi itu adalah sebelum vaksin diberikan,” katanya, merujuk kepada pilihan raya negeri (PRN) Sabah September tahun lepas.

Azrul berkata, orang ramai masih boleh dijangkiti Covid-19 selepas menerima vaksin, dan menjangkiti orang lain.

“Masalahnya adalah sama ada orang ramai dan ahli politik akan dengar, faham dan berkelakuan dengan cara yang selamat seperti menjaga jarak, memakai pelitup muka, membersihkan tangan dan mengelak ruang tertutup dan sesak.

“Pengalaman mengajar kita sebanyak mana pun pengawasan dan penguatkuasaan tidak akan berguna melainkan orang ramai proaktif dan menyokong langkah-langkah ini,” katanya.

Dr Koh Kar Chai.

Beliau berkata, mungkin juga peratusan keluar mengundi rendah kerana orang ramai tidak sepenuhnya yakin pilihan raya boleh diadakan dengan selamat.

Menghindari acara perebakan utama

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata, larangan berkempen secara fizikal perlu bagi mengelakkan satu lagi kejadian perebakan utama (superspreader), dan kes akan meningkat di Melaka dan juga negeri lain memandangkan perjalanan rentas negeri kini dibenarkan.

Katanya, ahli-ahli politik harus menyesuaikan diri dengan norma baharu.

Dzulkefly Ahmad.

Bekas Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pilihan raya sepatutnya tidak diadakan. Kerajaan sepatutnya mencari cara terbaik untuk menyelesaikan isu dalam Dewan Undangan Negeri Melaka jika ia benar-benar prihatin terhadap rakyat.

Bagaimanapun memandangkan PRN Melaka akan diteruskan juga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus merangka SOP mengikut contoh protokol di Singapura dan Jerman.

“Singapura membuka ruang kepada pembangkang untuk mendapatkan masa siaran yang adil di saluran media utamanya.”

Pilihan raya diadakan di Jerman bulan lalu untuk memilih pengganti Canselor Angela Merkel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.