Polis ingatkan parti politik, calon PRN Melaka hati-hati guna media sosial

Polis ingatkan parti politik, calon PRN Melaka hati-hati guna media sosial

Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali berkata pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi memantau platform media sosial secara 24 jam.

Polis menasihatkan parti dan calon supaya mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan agar proses pilihan raya secara norma baharu di Melaka terbaik untuk digunakan pada pilihan raya akan datang.
MELAKA:
Polis mengingatkan pihak berkepentingan seperti parti politik dan calon dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka agar sentiasa berhati-hati menggunakan media sosial ketika berkempen bagi menyuburkan proses demokrasi.

Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas bagi memantau platform media sosial secara 24 jam untuk mengenal pasti hantaran yang dimuat naik dalam medium berkenaan.

“Pasukan ini melibatkan tiga kumpulan secara bergilir memantau hantaran untuk kita pastikan mereka menggunakannya dengan cara sihat, bukan untuk menghina, mengganggu-gugat ketenteraman awam atau menghina mana-mana pihak.

Ini adalah tanggungjawab kita untuk suburkan demokrasi, bukannya menghasut antara satu sama lain,” katanya dalam program Bicara Khas “Keselamatan PRN Melaka Ke-15” secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam tadi.

Abdul Majid berkata, apabila sesuatu kesalahan dikesan, polis akan membuat laporan supaya siasatan adil dapat dijalankan dan seterusnya menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu beliau menasihatkan parti dan calon supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan proses pilihan raya secara norma baharu di negeri itu terbaik untuk digunakan pada pilihan raya akan datang.

“Situasi di negeri ini amat terkawal dan terjamin, kita dapat lihat rakyat di Melaka menjalani kehidupan seperti biasa, tiada insiden yang mengganggu-gugat walaupun SOP baharu dilaksanakan pada PRN kali ini di samping kematangan parti-parti politik yang bertanding,” katanya.

Katanya, polis juga komited menguatkuasakan undang-undang dalam menjaga ketenteraman awam bagi memastikan rakyat keluar mengundi beramai-ramai dan tidak perlu gusar kerana keselamatan mereka dilindungi.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.