
Penemuan harta karun bernilai jutaan poundsterling sejak lima tahun kebelakangan ini di sepanjang Sungai Musi, Palembang mencetus spekulasi ia berkemungkinan lokasi Suwarnadwipa atau Pulau Emas Kerajaan Sriwijaya yang menjadi kisah dongeng rakyat Indonesia.
Menurut sejarah, Kerajaan Sriwijaya di Sumatera wujud sekitar abad ke-14. Penemuan harta karun terbaharu itu hasil selaman malam sekumpulan nelayan tempatan di Sungai Musi, Palembang.
Laporan media asing termasuk The Guardian baru-baru ini mengatakan, harta karun yang ditemui cukup luar biasa.
Ia termasuk patung Buddha bertatahkan permata abad ke-8 bernilai jutaan poundsterling dan permata yang dicanai khusus untuk seorang raja.
Ahli arkeologi maritim British, Dr Sean Kingsley berkata, sejak lima tahun lalu, pelbagai artifak serta harta karun luar biasa muncul.
“Syiling pelbagai era, patung emas dan Buddha, permata, perkakasan yang pernah anda baca dalam cerita Sinbad the Sailor, yang disangka hanya rekaan, benar-benar wujud,” jelasnya.
Beliau menggambarkan penemuan harta karun tersebut sebagai bukti kukuh bahawa Sriwijaya adalah ‘dunia air’, di mana manusia tinggal di sungai seperti yang tercatat dalam teks-teks kuno.
“Ketika peradaban berakhir, kediaman kayu, istana, kuil-kuil beserta harta benda mereka ditenggelami air,” katanya lagi.
Pun begitu, bagaimana peradaban ini lenyap tidak pernah dinyatakan secara terperinci dalam sejarah atau oleh ahli arkeologi.
Kekerapan aktiviti gunung berapi di Indonesia berkemungkinan menjadi penjelasan logik seperti nasib tragis Pompeii.
Atau mungkin juga aktiviti sungai yang menenggelamkan seluruh bandar ketika banjir atau banjir lumpur.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]