
Muzium bawah laut pertama Greece kini menanti pengunjung di sebalik kehijauan Laut Aegean.
Walau mula dibuka pada tahun 2020, namun tapak yang cukup kaya dengan tinggalan sejarahnya itu masih belum disentuh akibat penularan wabak Covid-19.
Terletak di bawah laut Peristera, pulau berbatu berhampiran Alonissos ini akan membawa pengunjung melihat sendiri bekas arak berusia 2,500 tahun yang menjadi penanda utama tapak terdamparnya sebuah kapal karam kuno.
Datuk Bandar Alonisso, Petros Vafinis, berkata, ia adalah muzium bawah laut pertama yang boleh dikunjungi kerana nilai sejarahnya yang tidak ternilai.
“Saya percaya artifak yang terdampar di dasar laut sebegini tidak pernah ditemui di tempat lain dunia, apatah lagi ia boleh diakses penyelam profesional,” ujarnya.
Bagi penyelam seperti Hans-Juergen Fercher, 48, yang sudah empat kali melakukan eksplorasi di tapak tersebut, kombinasi selaman dan artifak arkeologi sedia ada menjadikan pengalaman selamannya begitu unik dan istimewa.
“Ia adalah gabungan selaman dan arkeologi. Dalam erti kata sebenarnya, seolah kita sedang menyelami sejarah,” katanya yang juga seorang pakar psikiatri.
Untuk lawatan ke tapak kapal karam berpandu, setiap penyelam perlu membayar AS$110 (RM465), kira-kira 50% lebih mahal berbanding kos scuba rekreasi biasa.
Oleh kerana kedalaman dan corak selaman yang agak teknikal, hanya penyelam bertauliah saja dibenarkan mengunjungi tapak kapal yang karam dalam perjalanan membawa arak dan barangan lain itu pada abad kelima sebelum masihi.
“Greece telah menjadikan industri selaman sebagai fokus untuk menarik pelancong sejak undang-undang membenarkannya pada 2020 sekali gus membolehkan penyelam mengakses tapak arkeologi berkenaan,” kata Menteri Pelancongan, Harry Theoharis kepada AFP.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]