
Sekeping barangan perhiasan yang diperbuat daripada emas berbentuk kapak ditemui di lubang upacara korban ke-5 di kawasan runtuhan Sanxingdui di wilayah Sichuan di barat daya China.
Penemuan itu dibuat ketika ahli arkeologi sedang menggali di tapak rumah yang dipenuhi harta karun berusia 3,000 tahun itu.
Di antara enam lubang upacara korban baharu yang ditemui pada Mac lalu, lubang ke-5, walaupun ukurannya paling kecil, mengandungi jumlah kepingan emas terbesar.
Barangan yang baru ditemui itu berkemungkinan adalah artifak emas terpenting seterusnya yang dijumpai dari lubang itu setelah penemuan topeng emas separuh wajah yang digali pada Mac lalu, menurut ahli arkeologi, Li Haichao yang bertanggungjawab ke atas lubang tersebut.
Ketika ini, bahagian yang terdedah adalah sepanjang 7cm. Bentuknya menyerupai kapak dengan bilah melengkung di bahagian depan dan tiga alur di permukaan.
Pun begitu, masih belum dapat dipastikan sama ada kepingan itu sebenarnya kapak atau hiasan kepunyaan artifak lain.
Apa yang mengejutkan ahli arkeologi adalah ketebalannya. Artifak emas lain yang ditemui di lubang yang sama adalah sekitar 1 milimeter, tetapi yang ini memiliki ketebalan kira-kira tiga milimeter.
Sementara itu, sejumlah manik juga ditemui pada lubang yang sama dipercayai 99% emas tulen, menurut Li.
Ia sangat kecil. Manik yang paling besar memiliki diameter tidak lebih dari 1 atau 2 milimeter. Berdasarkan kajian terkini, Li percaya ia mungkin dibuat sebagai barangan perhiasan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]