Kekasih berdakapan ditemui dalam makam berusia 1,600 tahun

Kekasih berdakapan ditemui dalam makam berusia 1,600 tahun

Pasangan kekasih dari era Dinasti Wei Utara lebih 1,600 tahun lalu itu dipercayai mati akibat membunuh diri.

Gambar yang diambil pada 5 Ogos 2020 itu menunjukkan pasangan kekasih berdakapan dalam makam yang dipercayai dari era Dinasti Wei Utara (386-534) lebih 1,600 tahun lalu.

Baru-baru ini, ahli arkeologi menerbitkan satu kajian mengenai makam kekasih yang saling berpelukan dari Dinasti Wei Utara (386-534) lebih 1,600 tahun yang lalu, lapor Universiti Jilin.

Makam yang pertama kali dibongkar di Bandar Datong, Daerah Shanxi, di China utara, pada 2020 itu memperlihatkan pasangan tersebut berbaring dalam satu keranda yang disemadikan dalam kubur yang sama.

Lelaki itu merangkul pinggang kekasih yang bersandar di dadanya dengan kepala wanita itu di bahunya.

Penyelidik turut menemui sebentuk cincin perak di jari manis tangan kiri wanita tersebut.

Analisis kerangka selanjutnya menunjukkan terdapat kesan retak pada tulang yang telah dijangkiti dan tidak sembuh di lengan kanan lelaki, sementara tulang wanita kelihatan sihat.

Penemuan ini menunjukkan bahawa kedua-duanya mungkin telah membunuh diri.

Walaupun beberapa makam pasangan berdakapan dari Dinasti Wei Utara pernah ditemui sebelum ini di China, penemuan arkeologi terbaru yang masih terpelihara dengan baik agak jarang ditemui, menurut pasukan penyelidik.

Makam seumpama itu membantu menafsir persepsi sosial tentang kehidupan manusia dan kematian serta sikap mereka terhadap cinta pada dinasti tersebut, kata para penyelidik.

Wilayah Datong kuno pernah menjadi hab utama budaya etnik pada masa itu. Cincin di jari manis penghuni wanita makam tersebut lazimnya berfungsi sebagai tanda cinta atau perkahwinan dan bukan sekadar perhiasan semasa pemerintahan Dinasti Wei Utara di China utara.

Makam kekasih yang berdakapan cukup tersohor sejarahnya sejak lebih 6,000 tahun lalu di seluruh dunia, termasuk Lovers of Valdaro yang ditemui di Itali dan Embracing Skeletons of Alepotrypa di Greece.

Penyelidik dari dalam dan luar negara termasuk dari Institut arkeologi Datong, Universiti Jilin dan Universiti Xiamen melakukan penyelidikan dan kajian bersama mengenai makam yang digali di Shanxi itu.

Satu kajian mengenai penyelidikan ini turut diterbitkan dalam International Journal of Osteoarchaeology.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.