Penggali kubur terkejut jumpa harta karun kerajaan purbakala

Penggali kubur terkejut jumpa harta karun kerajaan purbakala

Harta karun berupa cincin emas, cincin perak, gelang dan anting-anting emas itu ditemui pada kedalaman 2 meter.

Tiga penggali kubur menemui harta karun berupa cincin emas, cincin perak, gelang dan anting-anting emas di Kota Bima, Nusa Tenggara Barat, Indonesia.

Penduduk Kota Bima, di Pulau Sumbawa, Nusa Tenggara Barat Indonesia gempar dengan satu lagi berita penemuan harta karun kerajaan lama oleh tiga penggali kubur.

Tiga penggali kubur tersebut, Ibrahim, Ramli dan Robi Mas’ud dikatakan menemui cincin emas, cincin perak, gelang dan anting-anting emas pada kedalaman dua meter.

Ketua Bahagian Bidang Kebudayaan Dinas Pendidikan dan Kebudayaan Kota Bima, Munawar berkata, penemuan terbaharu itu begitu menggemparkan.

Ketika menyiasat penemuan tersebut, difahamkan Ibrahim seorang daripada penggali kubur tersebut terkejut selepas menemui tengkorak yang dikebumi bersama barangan perhiasan berharga disisinya.

“Pada mulanya mereka tidak percaya barangan tersebut adalah harta karun kerana ia bercampur tanah. Namun setelah diperiksa barulah mereka yakin,” ujar Munawar kepada Portal Indonesia, MNC.

Menurutnya, ia bukan pertama kali artifak purbakala sebegitu ditemui di kawasan tersebut. Sebelum ini, penduduk di sekitar daerah sama turut menemui artifak seperti mata tombak, cucuk sanggul dan beberapa lagi barangan lain.

Harta karun dipercayai dari era kerajaan purbakala itu kemudiannya dibahagi tiga. Ibrahim mendapat dua cincin, Ramli memperoleh cincin dan anting-anting manakala rakannya mendapat gelang dan anting-anting.

“Kami turut berpesan kepada mereka, jika ingin menjual, lebih baik jual kepada kerajaan. Jangan jual kepada orang lain,” katanya.

Barangan perhiasan itu turut di bawah ke kedai emas untuk dinilai. Menurut laporan berat cincin emas itu saja sudah mencecah 25 gram, manakala barangan yang lain masih belum dapat dipastikan berat dan nilainya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.