Syiling Perak berusia 400 tahun jadi petunjuk penempatan terawal Inggeris di Amerika Syarikat

Syiling Perak berusia 400 tahun jadi petunjuk penempatan terawal Inggeris di Amerika Syarikat

Wang syiling terbabit mempunyai potret Raja Charles I dan dikeluarkan ketika penempatan itu dibuka pada 1634.

Keadaan wang syiling lama yang ditemui ahli arkeologi baru-baru ini. (Gambar edition.cnn.com)

Penemuan sekeping wang syiling Perak yang dipercayai berusia 400 tahun di Maryland, Amerika Syarikat menjadi petunjuk terbesar kepada ahli arkeologi untuk mencari Kubu St Mary iaitu salah satu penempatan kolonial terawal yang pernah wujud.

Menurut Pengarah Penyelidikan dan Koleksi di Muzium Bersejarah Bandar St Mary, Travis Parno, syiling dengan potret Raja Charles I itu dikeluarkan oleh Royal Mint di Menara London ketika penempatan terbabit dibuka pada 1634,

“Tidak ada tarikh yang kelihatan dicetak pada wang syiling ini tetapi kami yakin penemuan ini adalah sesuatu yang menakjubkan.

“Hanya terdapat tanda pembuatnya yang hanya digunakan pada 1633 dan 1634, jadi mungkin juga terdapat tarikh dicetak padanya sebelum ini,” katanya.

Parno menjelaskan, penggunaan wang syiling pada zaman itu adalah terlalu asing kerana mereka biasanya membuat pembayaran barangan, perkhidmatan atau urusan membeli tanah dengan menggunakan tembakau.

Kaedah itu juga digunakan secara meluas dan menjadi semakin popular di Eropah, katanya lagi.

Parno berkata, ia kemungkinan milik salah seorang daripada 150 penduduk asal penempatan Inggeris yang membawanya ke Maryland sebelum ia hilang.

Pada November lalu, sekumpulan ahli arkeologi menemui wang syiling itu berhampiran sebuah tapak bangunan yang menjadi tempat percarian mereka di kawasan terbabit.

Parno sebelum ini mengumumkan bahawa dia dan pasukannya berjaya menemui tapak sebenar penempatan itu selepas menghabiskan masa bertahun-tahun mencarinya.

Beberapa pakar yang menggunakan radar paling canggih bersama peralatan lain berjaya menemui pagar balak yang tertanam, dipercayai dibina untuk mempertahankan kubu sebesar padang bola itu.

Ahli arkeologi kemudiannya menggali kawasan itu selama tujuh bulan dan turut menemui pelbagai artifak lain yang menjadi petunjuk bahawa ia pernah digunakan ketika awal abad ke-17.

“Ketika ini, kami mempunyai penemuan data yang mengatakan ini adalah tinggalan daripada Kubu St Mary. Wang syiling ini sangat membantu menjadi petunjuk terhadap pencarian ini,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.