
Seorang wanita yang mendakwa dirinya antivaksin menjadi tular selepas merakam dirinya menjilat barangan di pasar raya bagi membuktikan Covid-19 tidak berbahaya.
Jodie Meschuk yang mendakwa mampu memulihkan autisme, membuat hantaran (yang telah dipadam) di Instagram miliknya di mana dia cuba mendidik pengikutnya mengenai penularan wabak tersebut.
Meschuk dirakam menjilat beberapa barangan di kedai runcit termasuk kereta sorong, beg barangan dan tombol pintu peti menyimpan bir.
“Kuman menguatkan sistem imun anda. Mendedahkan diri kepada kuman membina pertahanan terhadap asthma dan alahan. Mikrob pula membantu penghadaman,” jelas Meschuk pada keterangan gambar.
Meschuk dipercayai menetap di Colorado, walaupun tidak dapat disahkan di mana klip itu dirakam.
Video menjilat barangan itu telah dipadam dari laman Instagram Meschuk. Namun tidak dapat dipastikan sama ada ia dipadam Meschuk atau pentadbiran Instagram sendiri.
Berdasarkan akaun media sosialnya, Meschuk menjalani kehidupan yang holistik dan menyediakan maklumat mengenai perubatan kuantum kepada lebih 17,000 pengikutnya.
Hantarannya di media sosial sering mengenengahkan isu-isu seperti coronavirus, vaksin, perkauman di Amerika dan agama.
Dia juga menulis sebuah buku bertajuk Autism Reimagined di mana dia didakwa cuba menjelaskan bagaimana untuk ‘menukar diagnosis itu’.
Apapun, Meschuk bukanlah individu pertama yang berjaya menarik perhatian media kerana menjilat barang-barang di kedai runcit untuk membuktikan teorinya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected].