
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata serbuan dengan kerjasama JSJN IPK Kelantan itu dilakukan hasil risikan hampir sebulan dan maklumat awam.
Katanya, jarak premis diserbu itu dengan kedai runcit milik suspek berusia 20-an hanya beberapa kilometer.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di kawasan semak dekat premis itu menemui tujuh guni mengandungi 196 bungkusan plastik tertera ‘Jin Xian Tea’ dan ‘Number One’ yang berisi syabu seberat 204.34kg bernilai lebih RM6.5 juta.
“Bekalan dadah itu dipercayai untuk dihantar ke Lembah Klang dan dadah dirampas itu mampu merosakkan 1.02 juta orang yang menggunakannya,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, sindiket itu menyeludup dadah dari Thailand melalui pangkalan haram Terusan di Rantau Panjang, sebelum dipunggah menggunakan kenderaan dan disembunyikan di kawasan semak sementara menunggu ahli sindiket lain mengambilnya.
Katanya, lelaki tempatan ditahan itu positif methamphetamine dan mempunyai lima rekod jenayah lampau.
Hussein berkata, polis dalam proses menyita kedai runcitnya bagi menjalankan siasatan sama ada perniagaan itu digunakan untuk mengaburi kegiatan sindiket dadah.
Menurutnya, polis turut merampas dua kenderaan dan wang dalam akaun sebanyak RM708.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.