
CEO Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib, berkata isu penguatkuasaan kekal menjadi cabaran utama kerana ramai peruncit termasuk rangkaian kedai serbaneka besar masih belum bersedia walaupun sudah diberi tempoh selama enam bulan.
“Tinjauan di kedai besar dan serbaneka menunjukkan mereka masih kurang atau tidak faham mengenai larangan mempamerkan ini.
“Ramai membina kabinet tertutup di belakang kaunter untuk menyimpan rokok dan produk vape, tetapi masih meletakkannya di luar kabinet bersama bahan promosi,” katanya kepada FMT.
Bawah Peraturan Kawalan Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024, produk tembakau dan vape tidak boleh dipamerkan kepada orang awam di premis runcit bagi mengelakkan usaha promosi secara tidak langsung.
Azrul berkata, tarikh kuat kuasa ditangguhkan sebelum ini atas permintaan pemain industri dan pihak berkepentingan.
Katanya, sebarang lanjutan penangguhan akan memberi mesej salah mengenai pematuhan undang-undang kesihatan awam.
Beliau mencadangkan pihak berkuasa menumpukan tindakan penguatkuasaan awal terhadap rangkaian kedai runcit besar sebelum beralih kepada kedai kecil.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Jacob George, pula berkata larangan itu tidak akan berkesan tanpa penguatkuasaan ketat.
Katanya, banyak langkah sebelum ini tidak memberi kesan kerana penguatkuasaan lemah, seperti larangan merokok di restoran yang gagal dipatuhi apabila masih ada pelanggan dilihat merokok di premis makanan.
“KKM mesti memastikan rokok tidak dijual kepada individu bawah umur 18 tahun dan orang ramai tidak merokok di restoran. Masalah utama ialah penguatkuasaan yang lemah, bukan sama ada rokok dipamer atau tidak,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kedai Kopi Petaling Jaya, Keu Kok Ming, berkata ramai peniaga sudah melabur untuk memasang rak dan kabinet tertutup bagi mematuhi peraturan baharu.
“Pemilik restoran akan ikut peraturan. Kami harap kementerian tidak menangguh tarikh akhir kerana banyak kedai sudah pasang rak khas,” katanya.
Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) pula menyuarakan kebimbangan ada sebilangan besar daripada 51,000 peruncit masih belum memasang kabinet tertutup selaras peraturan itu.
MCTC menggesa kerajaan tegas menguatkuasakan larangan pameran produk tembakau dan vape yang dijadual berkuat kuasa 1 Okt ini.