

Pekerja swasta, Muhammad Hasif Idris, 35, berkata sangat berpuas hati dengan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang disifatkan sebagai inisiatif benar-benar meringankan tekanan kos sara hidup.
“Masa kerajaan umum (SARA), saya dah tersenyum gembira sebab dapat terus rancang beli barang dapur seperti beras, sabun dan keperluan asas lain. Sekurang-kurangnya ia menjimatkan perbelanjaan bulanan,” katanya kepada FMT.
Tidak hanya mahu bergantung kepada bantuan seperti itu semata-mata, Hasif berharap dalam belanjawan akan datang kerajaan mempertingkatkan lagi program yang boleh menggalakkan rakyat menambah dan menjana pendapatan sendiri.
“Saya harap belanjawan kali ini turut memperbanyak insentif dan program kemahiran seperti TVET, kerana peluang latihan ini memberikan nilai tambah kepada pekerja untuk meningkatkan kemahiran serta menjana pendapatan,” katanya.

Turut senada penjawat awam, Wan Azizah Wan Jaafar, 56, yang memaklumkan bantuan sedia ada sangat bermanfaat dalam menguruskan belanja harian dan berharap Belanjawan 2026 akan memberi tumpuan kepada golongan luar bandar.
“Memang banyak membantu seperti bantuan RM100 (SARA) boleh digunakan untuk belanja rumah. Untuk penduduk kampung seperti penoreh getah dan peladang, subsidi sebegini amat bermanfaat. Semoga belanjawan akan datang terus menambah baik sokongan kepada mereka,” katanya.

Penulis buku, Mohd Haikal Isa, 32, menaruh harapan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) dapat diteruskan dalam belanjawan akan datang kerana pengurangan harga petrol kepada RM1.99 seliter amat bermakna kepada rakyat.
“BUDI95 memang banyak kelebihan. Walaupun 300 liter ia tetap memberi penjimatan besar contohnya bila balik kampung. Duit yang sepatutnya habis untuk petrol boleh digunakan untuk keperluan lain. Saya harap program ini berkekalan kerana manfaatnya jelas kepada rakyat,” katanya.

Bagi pekerja pasar raya di Kuala Lumpur, Muhammad Ridzwan, 25, walaupun sudah mampu menarik nafas lega selepas gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700, dia masih berharap harga barang dapat dikurangkan.
“Kalau ditanya dari segi gaji, saya sebenarnya rasa dah cukup baik untuk kadar minimum, tetapi kalau untuk harga makan, barang-barang mentah, mungkin boleh diturunkan sikit. Sebab sekarang kalau kita pergi bazar makanan semua dah mahal, dengan peniaga pun letak harga macam tak masuk akal,” katanya.
Inflasi, kenaikan kos sara hidup fokus utama
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat, Afzanizam Abdul Rashid, berkata isu inflasi dan kenaikan kos sara hidup akan terus menjadi fokus utama kerajaan dalam Belanjawan 2026.
Katanya, instrumen dasar seperti SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kekal penting kerana terbukti memberi kesan langsung kepada rakyat.
“Tahun ini sahaja peruntukan kedua-dua instrumen tersebut dinaikkan kepada RM15 bilion berbanding RM10 bilion sebelum ini, hasil penjimatan fiskal kerajaan,” katanya.
Menurutnya, selain bantuan tunai aspek penguatkuasaan undang-undang juga perlu diperkukuh bagi mengawal harga pasaran termasuk tindakan tegas terhadap aktiviti sorok barang, manipulasi harga dan kartel.
“Jika tidak dikawal, harga barangan dan perkhidmatan boleh naik mendadak dan akhirnya menjejaskan kuasa beli rakyat,” katanya.