Senarai sita barang Albert Tei dah diserah, SPRM nafi tak ikut prosedur

Senarai sita barang Albert Tei dah diserah, SPRM nafi tak ikut prosedur

Antara barangan disita SPRM terdiri telefon bimbit, iPad dan perakam video digital yang merupakan barang bukti.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyerbu rumah Albert Tei di Puchong Jumaat lalu.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyerahkan senarai rampasan barangan milik Albert Tei pada hari penahanannya dan ditandatangani sendiri oleh ahli perniagaan itu.

Dalam kenyataan, Bahagian Komunikasi Strategik SPRM berkata, barangan tersebut diberikan oleh Tei kepada pegawai agensi antirasuah itu dan satu salinan dokumen senarai penyitaan harta alih bawah Seksyen 33 Akta SPRM 2009 diserahkan kepadanya pada 28 Nov.

Katanya, antara barangan disita terdiri telefon bimbit, iPad dan perakam video digital yang merupakan barang bukti.

“SPRM menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tanpa asas bahawa pegawai SPRM telah merampas barang-barang Albert Tei tanpa mengikut prosedur.

“SPRM sentiasa melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan ditetapkan dalam bidang kuasa,” katanya.

Terdahulu, isteri Tei mengugut akan memfailkan semakan kehakiman terhadap SPRM, jika ia gagal memenuhi permintaannya dalam tempoh tiga hari.

Lee Pei Rie melalui peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal meminta SPRM mengeluarkan inventori penuh yang ditandatangani berhubung barang dirampas dari rumahnya serta pegawai terbabit dalam rampasan itu.

Katanya, SPRM perlu memulangkan segera barang yang tidak diperlukan untuk siasatannya.

Jika SPRM gagal memenuhi permintaannya, Lee akan memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk memohon perintah bagi mengeluarkan senarai rampasan serta pemulangan mandatori harta ditahan secara tidak sah dan pengisytiharan ketidakpatuhan undang-undang serta prosedur.

Permintaannya terkandung dalam sepucuk surat dikeluarkan Rajesh dan Sachpreetraj kepada SPRM pada 30 Nov lalu, selepas agensi itu menyerbu rumah Tei di Puchong pada Jumaat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.