
Amat menyedihkan apabila sepasang suami isteri yang hidup bersama selama 58 tahun ditemui mati bersama-sama di atas katil dalam tragedi runtuhan kondominium 12 tingkat di Miami, Florida, beberapa hari lalu.
Mayat mangsa berkenaan, Antonio Lozano, 82, dan isteri, Gladys, 80, ditemui di sebalik sisa runtuhan bangunan Champlain Towers South Condo di Surfside.
Mereka adalah di antara 11 orang yang disahkan mati dalam kejadian itu manakala pihak berkuasa masih melakukan operasi mencari lebih 150 lagi penghuni kondominium terbabit.
Anak lelaki pasangan itu, Sergio Lozano berkata, ibu bapanya sering berjenaka mengenai siapa yang akan pergi meninggalkan mereka terlebih dulu kerana tidak sanggup untuk hidup bersendirian.
Bagaimanapun, pada awal pagi Khamis lalu, kedua-duanya disahkan mati dalam tragedi menyayat hati itu.
“Saya diberitahu, mayat ditemui bersama-sama di atas katil. Ini adalah penghujung sebuah cerita romantik mereka,” katanya kepada CBS Miami.
Katanya, dia sempat bertemu ibu bapanya buat kali terakhir ketika menikmati makan malam di rumah terletak di tingkat sembilan pada petang Rabu, iaitu beberapa jam sebelum runtuhan berlaku.
“Selepas makan malam, saya keluar bekerja awal pagi dan sempat memeluk ibu pada malam itu dan mencium pipi ayah buat kali terakhir,” katanya.
Pasangan itu dikatakan sudah saling mengenali sejak lebih 60 tahun lalu dan sepatutnya meraikan ulang tahun perkahwinan mereka pada 21 Julai ini.
Sergio yang tinggal di sebuah kompleks apartment berhampiran berkata, dia dikejutkan dengan bunyi bising sekitar jam 1.30 pagi.
Dia yang menyangkakan dilanda puting beliung kemudiannya terus berlari ke arah pintu namun apa dilihat ketika itu lebih mengejutkan.
“Saya membuka pintu dan memberitahu isteri bahawa bangunan itu sudah tidak ada lagi di situ,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]