
Timbalan Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PM), Jemale Paiman, berkata Kementerian Pendidikan (KPM) harus menetapkan pesara terbabit mengajar subjek itu sahaja dalam satu sesi di sekolah.

“Waktu mengajar mesti fleksibel…jika sesi pagi hanya pagi atau sesi petang hanya petang. Tidak boleh pagi sampai petang.
“(Manakala) kalau ajar bahasa Inggeris, mestilah subjek itu sahaja. Tidak boleh ajar subjek lain dan jangan diminta jadi cikgu ganti,” katanya kepada FMT.
Beliau turut mempersoalkan adakah kerajaan akan menawarkan gaji kepada pesara guru terbabit secara harian atau bulanan.
Pada 16 Julai lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengalu-alukan pembabitan pesara guru yang berhasrat kembali berkhidmat untuk menyumbang kepakaran mengajar bahasa Inggeris.
Katanya, golongan pesara guru sememangnya sudah banyak membantu usaha KPM meningkatkan tahap pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bahasa itu seperti program HIP (Highly Immersive Programme).
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah Wee Tse di Dewan Rakyat, mengenai kemungkinan pembabitan pesara guru menyediakan persekitaran bagi membantu meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris terutama di kawasan pedalaman.
Sementara itu, Jemale menyokong usaha KPM yang ingin menggunakan khidmat pesara guru bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar khususnya di pedalaman.
“Mudah ambil guru bersara. (Jika) KPM ambil dari luar negara (mungkin akan berlaku) kekangan budaya atau masalah penempatan dan kenderaan. Kalau pesara guru, saya rasa ramai mahu peluang itu,” katanya
Jun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata hasil perbincangan dengan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, kemungkinan republik itu menghantar guru untuk mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa tempat.
Anwar turut menjelaskan kerajaan bukan berhasrat membawa guru dari Singapura untuk mengajar bahasa Inggeris, sebaliknya mewujudkan satu skim bantuan untuk menghantar sukarelawan ke kawasan pedalaman.
Bagaimanapun, cadangan itu ditolak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dengan menyuarakan Malaysia mempunyai ramai guru berkemampuan.