
Beliau berpendirian tiada keperluan Kabinet membincangkan permohonan itu, sambil menyifatkan keputusan perdana menteri sudah memadai.
“Saya sampaikan surat kepada perdana menteri dan Fahmi Fadzil (selaku jurucakap kerajaan perpaduan) kata Kabinet tak bincang, bagi saya tak perlu sampai dibincang peringkat Kabinet, cukup perdana menteri buat keputusan dengan arahkan ketua setiausaha negara maklum kepada agensi berkaitan dalam soal ini.
“Apa yang saya sampaikan kepada perdana menteri ialah suara akar umbi masyarakat India,” katanya kepada FMT.
Semalam, Fahmi memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri tidak membincangkan permohonan Saravanan supaya semua agensi dan jabatan kerajaan menghentikan penggunaan istilah berkenaan.
Pada Isnin, Saravanan memohon Anwar mengeluarkan arahan tersebut.
Dalam surat kepada Anwar, Ahli Parlimen Tapah itu berkata, kerajaan tidak seharusnya mengabaikan fakta sejarah mengenai penubuhan kuil Hindu di negara ini, yang kebanyakannya mendapat kelulusan pihak berkuasa kolonial dan pentadbir tempatan.
Saravanan berkata, banyak kuil Hindu di Malaysia telah lama wujud sebelum Kanun Tanah Negara 1965 dan melabelkannya sebagai ‘haram’ menyinggung penganut Hindu.
Beliau mengemukakan rayuan itu kepada Anwar sebagai maklum balas terhadap surat daripada pengurusan Hospital Taiping yang menyatakan ia akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap sebuah kuil Hindu ‘haram’ di kawasannya.
Hak tanah untuk kuil Hindu lama menjadi topik kontroversi berikutan tindak balas orang ramai terhadap rancangan untuk memindahkan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur bagi memberi laluan kepada pembinaan Masjid Madani.
Kerajaan kemudian mendedahkan kuil berusia 130 tahun itu telah bersetuju untuk berpindah ke plot lain 50m dari tapak semasa, yang disifatkan sebagai ‘penyelesaian menang-menang’ oleh Anwar.