Belanjawan 2025: Kerajaan digesa beri penekanan STEM, DLP

Belanjawan 2025: Kerajaan digesa beri penekanan STEM, DLP

Pengerusi SMJK Chong Hwa Kuala Lumpur Lim Keng Cheng berkata mata pelajaran STEM mesti diutamakan kerana penting dalam pembangunan ekonomi.

School classroom teacher
Jun lalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memberi tumpuan kepada subjek STEM dan penguasaan bahasa Inggeris bagi memastikan generasi akan datang mampu bersaing dalam ekonomi global.
PETALING JAYA:
Dua pakar pendidikan menggesa Belanjawan 2025 mengutamakan peruntukan bagi pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan mengembangkan program dwibahasa (DLP) di sekolah.

Pengerusi SMJK Chong Hwa Kuala Lumpur, Lim Keng Cheng, berkata mata pelajaran STEM penting dalam memupuk pembangunan ekonomi.

Manakala, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Rahim, berkata Belanjawan 2025 memberi peluang kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim menunaikan janji untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan memperkukuh DLP.

“Ekonomi global semakin didorong teknologi dan inovasi, jadi tenaga kerja masa depan harus cekap dalam bidang STEM, termasuk kecerdasan buatan (AI). Sistem pendidikan STEM yang kukuh boleh memupuk inovasi dalam sektor ekonomi, yang akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi,” kata Lim.

Belanjawan sebelum ini memperuntukkan RM100 juta untuk menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah dan memperoleh peralatan baharu untuk pembelajaran mata pelajaran STEM, manakala jawatankuasa merentas kementerian ditubuhkan untuk meningkatkan penyertaan pelajar sekolah menengah dalam bidang itu.

Walaupun kerajaan belum mencapai sasaran meningkatkan pelajar aliran sains, Lim berkata pengajaran mata pelajaran STEM dalam bahasa Inggeris boleh membantu membina minat dalam kalangan pelajar sekolah.

Katanya, banyak sekolah menengah kini mengajar subjek STEM dalam bahasa Melayu, manakala institusi pengajian tinggi menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Menurutnya, dasar yang bertukar-tukar dalam bahasa pengantar untuk mata pelajaran STEM menyebabkan penurunan bilangan guru yang mampu mengajarnya secara berkesan dalam bahasa Inggeris.

“Tiada kesinambungan dalam bahasa pengantar sehingga menyukarkan mata pelajaran STEM bagi sesetengah pelajar.

“Terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk profesional dalam bidang STEM, dan bahasa Inggeris harus menjadi bahasa pengantar bagi mata pelajaran STEM dan pendidikan AI kerana sejumlah besar pengetahuan dan bahan penyelidikan ditulis dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Ketika berucap dalam majlis anjuran Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (Amcham) Jun lalu, Anwar berkata kerajaan akan memberi tumpuan kepada subjek STEM dan penguasaan bahasa Inggeris bagi memastikan generasi akan datang mampu bersaing dalam ekonomi global.

Beliau turut menyeru guru diberi latihan menyeluruh untuk menyampaikan pendidikan STEM secara berkesan dan memberi inspirasi kepada pelajar selain memperkenalkan lebih banyak aktiviti berasaskan projek dan penyelesaian masalah untuk menjadikan subjek itu lebih menarik.

Sementara itu, Azimah menggesa Anwar memperuntukkan sejumlah besar untuk DLP dalam belanjawan akan datang.

“Sarawak membelanjakan RM18 juta daripada dana negerinya sendiri untuk memulakan DLP, tetapi Putrajaya tidak mempunyai dana untuk ditawarkan kepada negeri lain yang mahu melakukan perkara sama,” katanya.

Kementerian Pendidikan menerima RM58.7 bilion untuk tahun ini, peruntukan terbesar diberikan bawah Belanjawan 2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.