
Warisan memerintah Sabah selepas membentuk kerajaan pada PRU 2018, namun pentadbiran diketuai Shafie Apdal hanya bertahan hingga 2020 susulan PRN.
Setiausaha Warisan Kota Kinabalu, Loi Kok Liang, berkata penguasaan bahasa Inggeris yang meluas membolehkan Sabah mencapai tahap pembangunan lebih baik dan menarik pelaburan asing, selain memacu industri pelancongan.
Katanya, untuk melaksanakan reformasi pendidikan secara menyeluruh, Sabah perlu mendapatkan semula kuasa dalam bidang pendidikan.
“Oleh itu, Warisan berikrar menubuhkan semula Kementerian Pendidikan Sabah – satu entiti khas yang akan ditadbir oleh rakyat tempatan untuk menggubal dasar pendidikan sesuai dengan realiti dan keperluan negeri.
“Dunia hari ini adalah dunia tanpa sempadan. Kita tidak boleh membiarkan generasi muda Sabah terus dipinggirkan. Penguasaan bahasa Inggeris bukan sekadar soal kemahiran peribadi, tetapi penentu daya saing negara,” katanya dalam kenyataan.
Pada 29 Mei, Perak dinobatkan juara ranking penguasaan bahasa Inggeris di Malaysia dengan skor 585 dalam indeks kemahiran bahasa Inggeris EF 2024, mengatasi negeri lain.
Kedah menduduki tempat kedua dengan skor (584), diikuti Pulau Pinang (583), manakala Pahang dan Sarawak (580) dan Selangor (575), sekali gus menunjukkan peningkatan ketara dalam penguasaan bahasa Inggeris di beberapa negeri yang mungkin di luar jangkaan ramai.
Mengulas lanjut, Loi berkata Sabah tidak wajar sekadar menjadi pemerhati kejayaan Perak, sebaliknya perlu lebih agresif melangkah ke hadapan.
Beliau mengambil contoh Sarawak yang terus melaksanakan DLP dalam subjek sains dan matematik menggunakan bahasa Inggeris, sekali gus meningkatkan kebolehan pelajar dalam bahasa dan juga peluang kerjaya di peringkat antarabangsa.
“Pendidikan Sabah tidak seharusnya terus ditentukan oleh birokrat di Putrajaya. Ia mesti dikembalikan kepada rakyat Sabah sendiri. Hanya dengan cara itu kita dapat memastikan anak-anak kita menerima pendidikan yang sesuai, relevan, dan berdaya saing,” katanya.