
Ramai orang memakai cermin mata, tidak kiralah untuk bergaya ataupun disebabkan keperluan, terpulang kepada diri masing-masing.
Walau apa pun alasannya, setiap individu akan memilih cermin mata yang selesa dan bersesuaian mengikut bentuk wajah.
Tetapi, semuanya mulai berubah apabila berlakunya pandemik Covid-19. Masalah yang dihadapi oleh pemakai kaca mata ialah isu lensa berkabus yang berkait rapat dengan pemakaian penutup muka.
Ianya sangat menjengkelkan, apatah lagi terpaksa sentiasa mengelap lensa kaca bagi menghilangkannya setiap kali ia berlaku.
Bagaimana penutup muka membuatkan cermin mata berkabus?
Penjelasan sains yang ringkas di sebalik kejadian ini ialah, apabila udara hangat menyentuh permukaan yang sejuk, kondensasi akan terbentuk.
Sebagai contoh paling senang untuk difahami, kaca mata anda akan menjadi berkabus saat keluar dari tempat atau kereta yang sejuk, lebih-lebih lagi dengan kehadiran air conditioner.
Perkara yang sama berlaku dengan pemakaian penutup muka. Apabila nafas hangat anda keluar dari bahagian atas topeng, ia akan menyentuh lensa cermin mata dan menyebabkannya berkabus.
Apakah jalan penyelesaian terbaik yang boleh dilakukan? Ikuti artikel berikut untuk mengetahui tips-tips yang dapat membantu anda menyelesaikan masalah ini.
1. Pastikan pelitup muka bersesuaian dengan wajah anda
Banyak pelitup muka perubatan mempunyai jalur logam yang dapat dibengkok yang membolehkan pemakai membentuknya mengikut kesesuaian hidung dan pipi mereka.
Tambahan itu, harus dipastikan pelitup muka tersebut benar-benar sesuai dengan bentuk hidung anda. Ini kerana penutup muka yang kemas akan mampu menutup tulang hidung dan mengelakkan wap udara hangat keluar ke arah kaca mata anda.
Selain itu, anda juga harus menyesuaikan saiz tali gelung telinga penutup muka. Ini kerana apabila anda memakainya dengan betul dan selesa, anda akan mampu untuk bernafas melaluinya dan wap tidak akan bergerak ke bahagian atas atau sisi.
2. Gunakan semburan atau wipe anti kabus di pasaran
Alatan ini dikatakan sangat berkesan untuk digunakan terhadap lensa cermin mata, walaupun harganya mungkin agak mahal. Namun begitu, perlu diingat bahawa alatan anti kabus ini mungkin tidak dapat berfungsi dengan baik pada lensa dengan lapisan tertentu seperti anti silau, anti cap jari, atau anti kotor.
Semburan serta pengelap bersifat anti kabus ini sangat efektif dalam menyelesaikan dilema pengguna kaca mata yang memakai pelitup muka.
3. Hanya gunakan sabun dan air
Taktik seterusnya sering digunakan oleh para doktor dan golongan profesional selama ini iaitu dengan menggunakan air sabun dan kain yang lembut. Untuk menggunakan teknik ini, anda hanya perlu mencuci lensa cermin mata dengan air sabun dan membuang lebihan cecair.
Anda boleh membiarkan lensa kering secara sendiri atau mengelapnya dengan kain lembut sebelum memakai cermin mata anda semula.
Mengapakah kaedah ini berfungsi? Ini kerana sabun akan meninggalkan lapisan nipis yang bertindak sebagai penghalang kabus.
4. Gunakan cermin mata anda untuk menutup bahagian atas pelitup muka
Dengan menarik penutup muka tinggi sedikit menghampiri mata, anda boleh menggunakan cermin mata untuk menutup bahagian atas dan membentuknya mengikut wajah.
Cara ini juga sering digunakan oleh pemakai cermin mata dan merupakan antara kaedah yang paling mudah untuk diamalkan. Selain itu, kaedah ini bagus untuk mengelakkan wap nafas yang hangat daripada terkeluar pada bahagian atas penutup muka.
5. Lekatkan penutup muka menggunakan pita pelekat
Ini kaedah bagi mereka yang inginkan sesuatu yang lebih terjamin dan pelitup muka yang tidak senang untuk bergerak-gerak. Anda boleh melekatkan penutup muka di sekitar tulang hidung dan pipi menggunakan pita pelekat sukan atau perubatan.
Pastikan anda menggunakan pelekat yang selamat untuk diletakkan pada kulit. Sekiranya anda mempunyai kulit yang sensitif, uji terlebih dahulu pita pelekat tersebut untuk memastikan ia tidak akan menyebabkan kerengsaan.
Namun, sekiranya semua kaedah di atas tidak berkesan buat anda, cuba cari jalan penyelesaian yang lain seperti menghentikan pemakaian cermin mata dan menggunakan kanta lekap. Namun, ia hanya cadangan, berjumpalah dengan pakar jika perlukan nasihat.
Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]