Optometris & Hari Penglihatan Sedunia

Optometris & Hari Penglihatan Sedunia

Banyak penyakit mata yang boleh dikesan lebih awal bahkan dicegah dengan lebih berkesan apabila Optometris terlibat dengan lebih meluas dalam penjagaan kesihatan samada di sektor awam mahupun swasta.

Penglihatan mata kanan berbeza dengan penglihatan mata kiri, namun pentafsiran cahaya dan imej yang dilihat kedua-dua mata yang dilakukan oleh otak manusia membuatkan kita sentiasa dapat melihat secara tunggal (single vision). (Gambar Rawpixel)

Sejak tahun 2000, International Agency for Prevention of Blindness (IAPB) telah mengisytiharkan bahawa Khamis kedua pada bulan Oktober setiap tahun sebagai Hari Penglihatan Sedunia (WSD).

Tahun ini, hari istimewa tersebut jatuh pada hari ini iaitu 14 Oktober 2021. Peranan Optometris begitu luas namun, masih ramai yang belum mengetahuinya bahkan siapakah itu Optometris?

Muhamad Syukri Bin Mohamad Rafiuddin, Pengarah Urusan Kumpulan, Optometrist Senior dan pengasas MATA by Optometrist. (Gambar Muhamad Syukri)

Justeru, bersempena Hari Penglihatan Sedunia tahun ini, Muhamad Syukri Bin Mohamad Rafiuddin, Pengarah Urusan Kumpulan, Optometrist Senior dan pengasas MATA by Optometrist bercerita lebih lanjut mengenainya.

Optometris dan kesihatan mata serta badan

Peranan seorang Optometris adalah lebih besar daripada sekadar mempreskripsi cermin mata atau memeriksa kadar rabun seseorang, bukan hanya memastikan mata nampak jelas dengan cermin mata atau kanta lekap.

Tetapi Optometris juga individu yang berpengetahuan tinggi dalam kesihatan mata secara spesifik dan dalam kesihatan badan secara amnya.

Ya, Optometris mempunyai pengetahuan yang luas bukan sahaja berkenaan mata tetapi juga kesihatan badan.

Bidang pengajian Optometris

Bidang pengajian Optometris merangkumi subjek anatomi dan fisiologi keseluruhan badan (bukan hanya mata), patologi penyakit-penyakit seluruh badan bahkan farmakologi (ubatan-ubatan) untuk semua jenis penyakit manusia.

Namun begitu, silibus pengajian Optometri juga akan menekankan serta memberikan pendedahan lebih mendalam berkenaan mata dan penglihatan.

Pelajar bidang ini juga akan didedahkan dengan bidang pengkhususan untuk Optometris antaranya Penglihatan Binokular, Penglihatan Terhad, Penglihatan Kanak-Kanak, Kanta Lekap Khas dan Elektrofisiologi Penglihatan.

Penglihatan Binokular

Penglihatan Binokular ialah bidang pengkhususan yang sangat menarik kerana Optometris menilai cara seseorang melihat dengan menggunakan kedua-dua mata.

Pada asasnya, setiap biji mata di kepala manusia ialah organ berbeza. Penglihatan oleh mata kanan berbeza dengan penglihatan oleh mata kiri.

Namun, pentafsiran cahaya dan imej yang dilihat kedua-dua mata yang dilakukan oleh otak manusia membuatkan kita sentiasa dapat melihat secara tunggal (Single Vision).

Walaubagaimanapun, ada individu yang bermasalah dalam koordinasi antara kedua-dua mata mahupun bermasalah dalam pusat pentaksiran mata di otak sehingga muncul pelbagai isu seperti sakit kepala, ketidakstabilan badan dan masalah membezakan jarak. Isu-isu ini boleh diatasi oleh Optometris.

Penglihatan Terhad

Sementara itu, Penglihatan Terhad pula adalah situasi apabila seseorang itu hampir menjadi buta kerana penyakit tertentu tetapi belum buta sepenuhnya.

Optometris boleh membantu individu berpenglihatan terhad untuk melihat dengan lebih baik sekurang-kurangnya membolehkan mereka berfungsi untuk aktiviti harian mereka secara berdikari.

Ini dilakukan melalui preskripsi pelbagai alat bantu melihat yang lebih berkuasa seperti kanta pembesar, teleskop mahupun sistem berkomputer.

Penglihatan Kanak-Kanak

Pengkhususan dalam Penglihatan Kanak-Kanak pula melibatkan para pelajar Optometri belajar cara menyantuni kanak-kanak, memahami psikologi dan respon mereka seawal usia bayi sehingga usia remaja.

Proses perkembangan mata kanak-kanak diteliti sehingga membolehkan Optometris memeriksa mata kanak-kanak tidak kira di mana-mana pun mereka berada atau tempat bertugas.

Manakala, pembelajaran subjek Kanta Lekap Khas merupakan bidang spesifik yang membolehkan semua Optometris mempunyai keupayaan mempreskripsi pelbagai jenis kanta lekap termasuklah kanta lekap lembut, kanta lekap telus udara dan kanta lekap untuk fungsi pengurusan penyakit seperti Keratokonus.

Sementara itu, saya sendiri sebagai seorang Optometris mendalami secara lebih mendalam mengenai bidang Elektrofisiologi Penglihatan yang sangat mengujakan dan mungkin akan saya tulis dalam artikel pada masa akan datang.

Kesemua ini membuatkan seseorang Optometris yang tamat pengajian merupakan individu yang sangat berpengetahuan tinggi dalam bidang mata dan penglihatan serta hubungkaitnya dengan kesihatan badan tidak kira umur seseorang bahkan situasi penyakit mereka jika ada.

Optometris bertauliah

Oleh kerana itu jugalah, Optometris yang tamat belajar wajib berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum boleh melakukan pemeriksaan mata.

Ini dipanggil pendaftaran amalan atau tauliah yang diselia oleh Majlis Optik Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Hanya Optometris yang bertauliah dan berkelayakan sahaja dibenarkan untuk melakukan pemeriksaan mata seperti yang termaktub dalam Akta Optik Malaysia 1991.

Setiap Optometris yang berdaftar juga wajib memperbaharui sijil amalan tahunan mereka yang berwarna hijau setiap tahun bagi memastikan mereka sentiasa kompeten.

Tugas seorang Optometris merupakan satu tanggungjawab yang berat, ianya ibarat seorang doktor yang menjaga dan memastikan pesakitnya sentiasa sihat dan selamat.

Optometris bukan sekadar memastikan penglihatan seseorang itu jelas melalui bantuan cermin mata atau kanta lekap tetapi juga memastikan matanya sihat dan berfungsi dengan baik selain mata bebas penyakit atau sebolehnya mengesan penyakit mata seawal mungkin.

Optometris juga mengikut konsep Majlis Optometri Dunia (WCO) ialah pengamal penjagaan kesihatan primer bagi mata dan sistem visual.

Optometris menyediakan pemeriksaan mata yang lengkap dan terperinci, solusi berkaitan mata dan penglihatan yang komprehensif, pengesanan dan pengurusan pelbagai jenis penyakit mata serta rehabilitasi masalah berkaitan sistem visual.

Begitulah luasnya peranan Optometris.

Muhamad Syukri berharap agar pengetahuan tambahan berkenaan Optometris ini bakal menaikkan juga kesedaran masyarakat berkenaan peri pentingnya penglihatan yang jelas dan mata yang sihat untuk kehidupan kita sehari-hari.

Sesungguhnya, banyak penyakit mata yang boleh dikesan lebih awal bahkan dicegah dengan lebih berkesan apabila Optometris terlibat dengan lebih meluas dalam penjagaan kesihatan samada di sektor awam mahupun swasta.

Jom kita sayangi mata kita. Temuilah Optometris setahun sekali.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kesihatan mata, layari laman web MATA byOptometrist atau Facebook dan Instagram mereka. Untuk membuat temujanji, hubungi talian 03-33964200.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.