Ibu kandung, rakan dipenjara 3 tahun kurung anak dalam sangkar kucing

Ibu kandung, rakan dipenjara 3 tahun kurung anak dalam sangkar kucing

Ibu kandung mangsa turut dihukum penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap anaknya menggunakan pita pelekat.

Seorang ibu dan dua rakannya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 11 Nov lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas seorang ibu dan rakannya yang mengaku bersalah melakukan penganiayaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki.

Wanita 20 tahun itu bersama rakannya Adibah Mohd Zaini, 35, didakwa memasukkan mangsa berusia tiga tahun enam bulan (ketika kejadian) dalam sangkar kucing di Residensi Desamas, Taman Danau Desa pada 10 Feb lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip memohon hukuman penjara sebagai pengajaran kerana tahap serius perbuatan tertuduh terhadap mangsa.

“Saya memohon mahkamah ini mempertimbangkan tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan dan mengambil kira fakta tertuduh adalah ibu kandung mangsa di mana rasa tanggungjawab memelihara kanak-kanak itu daripada bahaya gagal dilaksanakan,” katanya menurut Harian Metro.

Dua tertuduh tidak diwakili peguam itu mengakui insaf dan menyesal atas perbuatan mereka.

Adibah merayu mahkamah mendendanya kerana mempunyai dua anak berusia 11 tahun serta satu tahun, manakala ibu kandung mangsa merayu hukuman ringan tanpa memberikan alasan.

“Hanya suami saya yang bekerja, anak sulung saya masih bersekolah, tidak ada sesiapa menjaganya di rumah, manakala anak satu tahun kini dijaga ibu saya yang tidak berapa sihat,” kata Adibah.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin memerintahkan dua wanita itu menjalani hukuman penjara tiga tahun mulai hari ini, bon berkelakuan baik selama lima tahun dan jamin RM10,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin serta khidmat masyarakat selama 240 jam dalam enam bulan.

Ibu kandung mangsa yang bekerja di sebuah restoran makanan segera itu turut dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap anaknya menggunakan pita pelekat.

Nidzuwan memohon hukuman berbentuk penjara pemenjaraan atas keseriusan kesalahan itu.

“Menurut fakta kes, tertuduh melilit pita pelekat pada mangsa sehingga tidak dapat menggerakkan tangan dan kaki, tidak ubah seperti mumia.”

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh dilaksanakan serentak mulai hari ini bersama hukuman tambahan bon berkelakuan baik selama lima tahun dan jamin RM10,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin, selain khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan.

Isnin lalu, seorang ibu muda dilaporkan memberitahu mahkamah dia terpaksa mengurung anaknya dalam sangkar di dapur rumah rakannya supaya boleh pergi bekerja.

Tertuduh bersama Adibah dan seorang lagi rakan Nor Azlin Fatin Najihah Lokman, 23, dijatuhkan hukuman penjara 14 hari mulai Isnin lalu selepas mengaku bersalah menganiaya mangsa sama dengan menendangnya sehingga cedera di lokasi sama antara 1.40 hingga 1.45 tengah hari 23 Feb lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.