Didakwa terima 5 cermin mata, pembantu penguat kuasa PBT dicekup

Didakwa terima 5 cermin mata, pembantu penguat kuasa PBT dicekup

Suspek dipercayai menerima kesemua cermin mata itu bernilai lebih RM1,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap sebuah premis.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pembantu penguatkuasa kerana disyaki menerima lima pasang cermin mata bernilai lebih RM1,000 daripada kedai cermin mata di sebuah daerah di Negeri Sembilan. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Hanya kerana didakwa menerima cermin mata, seorang pembantu penguat kuasa agensi pihak berkuasa tempatan (PBT) dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan.

Penjawat awam itu dipercayai menerima cermin mata bernilai lebih RM1,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap sebuah premis kerana melanggar peraturan Akta Kerajaan Tempatan 1976, pada Ogos 2020.

Memetik sumber, suspek berusia 49 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan, Seremban, pada 2.50 petang semalam, sebelum direman tujuh hari sehingga 31 Ogos bagi membantu siasatan.

“SPRM menahan seorang pembantu penguatkuasa kerana disyaki menerima lima pasang cermin mata bernilai lebih RM1,000 daripada kedai cermin mata di sebuah daerah di Negeri Sembilan supaya premis itu tidak dikenakan tindakan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Majistret Intan Syafinaz Ros’lin membenarkan perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 31 Ogos terhadap lelaki berusia 49 tahun itu di Mahkamah Majistret Seremban, pagi tadi,” lapor Harian Metro.

Katanya, suspek diwakili peguam Mohd Redzuan Hakiim dipercayai melakukan perbuatan itu sekitar Ogos 2020 ketika berkhidmat di sebuah majlis daerah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awangkok Ahmad Taufik Putra Awang Ismail, mengesahkan penahanan lelaki terbabit dan menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) ASPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.